Floria Putrajaya Kembali Lagi Bermula 22 Jun – 30 Jun 2013

Festival Bunga & Taman Putrajaya  kini kembali lagi bagi tahun 2013 bermula dari 22 Jun 2013. Kali ini Pesisiran Tasik, Presint 2, Putrajaya akan dihiasi dengan 5,000 pokok bunga Orkid dari pelbagai jenis spesis yang disusun dan dihias dalam bentuk taman dan gubahan. Floria Putrajaya 2013 akan berlangsung selama 9 hari berturut-turut. Ini juga adalah peluang kepada anda untuk bersama-sama memeriahkan acara tahunan ini.

Bertemakan Bunga Orkid – Khazanah Tropika (Orchid – Tropical Treasure), Floria Putrajaya 2013 juga akan mempamerkan lebih dari 200 spesies, kultivar dan hybrid pokok bunga orkid, sebahagiannya yang jarang dapat dilihat.

Orkid merupakan salah satu tanaman hiasan yang amat popular di Malaysia kerana faktor kesesuaian iklim yang panas dan lembap sepanjang tahun. Ia juga menjadi pilihan di kalangan penggemar flora di negara ini kerana saiz, struktur dan warna bunga yang pelbagai.

Dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) dan disokong oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), FLORIA Putrajaya kali ini dijangka dapat mencapai sasaran lebih dari sejuta pengunjung dengan mendekati orang ramai menerusi media sosial dan Instagram  di samping media lain yang sedia ada.  Justeru itu, pelbagai peluang disediakan untuk membolehkan pengguna internet memenangi hadiah menarik menerusi Pertandingan Fotografi, Pertandingan Slogan dan Pertandingan Blog Menarik (Best Blog Contest) yang menggunapakai media sosial.  

Floria-Putrajaya-2013

Ketika ditemui semasa Majlis Soft Launch Floria Putrajaya 2013 pada 30 Mei 2013, YB. Datuk Seri Utama Tengku Adnan Bin Tengku Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan berkata, “Di negara maju seperti Belanda contohnya, jualan dan eksport bunga-bungaan menjadi satu sumber pendapatan utama kepada negara mereka. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan pilihan bidang usaha yang sesuai dengan permintaan pasaran, kita juga mampu melakukannya. 

“Justeru itu, adalah dicadangkan supaya program dan aktiviti yang berteraskan landskap dan perkebunan (gardening) diadakan secara berjadual sepanjang tahun supaya masyarakat tempatan dan para pelawat akan dapat melihat, mempelajari dan mengamalkan teknik-teknik perkebunan, penanaman dan penjagaan tanaman bunga dan hiasan yang betul di kediaman masing-masing. Acara berjadual seperti ‘garden centre’, ‘agro-bazaar’, ‘master gardener’ dan sebagainya adalah sangat-sangat digalakkan dan perlu melibatkan para penduduk dan masyarakat di Putrajaya.”

Floria Putrajaya 2013 akan menampilkan 23 peserta antarabangsa dari 18 buah negara terdiri daripada pereka taman (garden designers), penggubah bunga (florist) dan Persatuan Orkid Antarabangsa (International Orchid Society/Association).  Mereka akan mempamerkan taman dalaman (indoor garden displays), taman luaran (outdoor garden displays) dan taman orkid (indoor orchid garden displays) dari Afrika Selatan, Australia, Chile, China, Filipina, Hong Kong, Itali, Jepun, Jerman, Kanada, Korea, Myanmar, New Zealand, Singapura, Taiwan, Thailand, United Kingdom dan Vietnam. Di samping itu, kreativiti dan kepakaran pereka taman landskap tempatan serta antarabangsa akan ditonjolkan menerusi lebih dari 80 Taman Pameran Luar yang turut disertai oleh agensi-agensi kerajaan, korporat, swasta, persatuan, penanam, universiti, sekolah menengah dan rendah. 

Pengunjung juga dapat melihat kreativiti 5 Arkitek Landskap dari Institute of Landscape Architects Malaysia (ILAM) yang akan merekabentuk taman pameran dalam kategori Taman Pereka (Designer Gardens). Selain itu, sebanyak 9 persatuan dan penanam bunga akan menampilkan produk bunga seperti Bunga Orkid, Heliconia, Ros, Bonsai, Bunga Semusim, Bunga Temperate, Daun Berwarna, Bunga Raya dan Bunga Kertas di taman-taman pameran mereka.

Tarikan lain di Floria 2013 adalah Pameran Koleksi Bunga Orkid yang dinamakan sempena nama Orang Kenamaan, Pertandingan Bunga Orkid dengan pelbagai spesies, rupa bentuk dan keharuman Bunga Orkid, Taman Di Raja, Taman Inovasi, Taman Jamuan Teh dan Longest Landscaped Vertical Wall. 

Sementara itu, komponen-komponen lain yang sinonim dengan Floria Putrajaya  masih dikekalkan seperti Bazar Jualan Bunga, Laman Seni, Jualan Kraf dan Cenderamata, perkhidmatan urutan serta jualan makanan dan minuman. Lebih dari 200 aktiviti dan program harian akan dijalankan sepanjang Floria Putrajaya 2013 termasuk ceramah dan bengkel perkebunan, demonstrasi gubahan bunga, hiburan, pertandingan fotografi dan lukisan cat air, penghasilan kraftangan dan bermacam-macam lagi. 

Floria Putrajaya merupakan pameran bunga dan taman berbentuk festival yang dianjurkan oleh PPj semenjak tahun 2007. Ia dijadikan acara tahunan semenjak tahun 2009 kerana mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari para pengunjung. Festival ini mempamerkan produk-produk komersial dari industri hortikultur dan landskap, pertunjukan taman, demonstrasi oleh pereka taman dan pertunjukan bunga-bungaan dari dalam dan luar negara di mana kesemua tarikan ini akan dipersembahkan di dalam suasana taman.

Floria Putrajaya  2013 akan dibuka kepada lawatan umum mulai 22 Jun 2013 hingga 30 Jun 2013 dari 9:00 pagi – 10:00 malam (Isnin hingga Khamis) dan dari pukul 9:00 pagi hingga 12:00 tengah malam (Jumaat hingga Ahad).  Masuk adalah PERCUMA.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web

www.ppjgov.my/putrajayafloria/floria.html

LIKE FB Perbadanan Putrajaya

https://www.facebook.com/putrajaya

Jumpa anda semua disana. Nanti kalau nak lihat status update di twitter, fb dan instagram atau keek. follow hashtag #FloriaPutrajaya2013

xoxo!

sign5.png

Post Author: Ruby

Ruby is a writer, entrepreneur and youtuber. The content of this blog consisting sponsor and personal experience. As i'm write something might different from other bloggers, alas different type of ideas give different result. Think and stay positive to keep our mind clean and healthy.

8 thoughts on “Floria Putrajaya Kembali Lagi Bermula 22 Jun – 30 Jun 2013

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.