Denggi Tidak Memilih Mangsa

      1 Comment on Denggi Tidak Memilih Mangsa

Demam Denggi tidak memilih mangsa. Malah ia adalah demam yang nampak remeh tetapi mengakibatkan kematian. Ruby ada pengalaman menghidap demam denggi sebanyak 2 kali. Kali pertama semasa berusia 24 tahun ketika berkhidmat di institusi pelancongan. Ruby kerap travel dan menetap di Shah Alam. Ada satu hari di mana ruby tidak boleh bangun dari katil dan lemah yang teramat sangat. Kebiasaannya akan ke klinik jika demam, tetaoi doktor arahkan ke hospital. Masa ini baru tersedar yang ruby jauh dari ahli keluarga dan ruby bukan berada di Kuala Lumpur. Di Shah Alam tiada hospital kerajaan dan Ruby admitted di Darul Ehsan Medical Center (DEMC). Sila bayangkan berapa kos bermalam di sana. Hahaha.

Kali ke dua kena demam denggi adalah pada tahun 2012 di bulan Ramadan. Masa ni demam teruk tetapi tidak ditahan masuk wad. Nurse masuk kan air dua botol. Jika dikenangkan demam denggi ni, ruby bersyukur masih sihat sehingga hari ini. Ketika alami demam denggi pelbagai ikhtiar telah ruby dan keluarga buat. Minum air banyak, minum air 100 Plus, minum air pucuk betik, minum air kelapa dan makan sup ketam. Ketika alami demam denggi, kita sebagai pesakit tidak ada selera dan tekak tertutup rapat taknak makan apa-apa. Kalau boleh nak terbaring di atas katil sahaja. Lemah selemah-lemahnya.

Sanofi Pasteur mengingatkan rakyat Malaysia bahawa Denggi menjangkiti semua. Denggi telah menjadi penyakit berjangkit bawaan nyamuk yang paling pantas merebak di planet ini, melebihi malaria menjangkiti sekurang-kurangnya 390 juta orang setiap tahun. Sehingga 17 Mei, terdapat 43,126 kes denggi dilaporkan di Malaysia, iaitu peningkatan sebanyak 34% berbanding tempoh laporan yang sama pada 2014 menurut Kementerian Kesihatan Malaysia. Apa yang lebih membimbangkan, jika dibandingkan dengan tempoh laporan yang sama pada 2014, kematian yang disebabkan oleh denggi adalah hampir 50% lebih tinggi pada suku pertama tahun 2015, dengan kematian sebanyak 136 yang dilaporkan. Ini bermakna lebih daripada satu kematian berlaku setiap hari pada suku pertama tahun2015!

Menyedari denggi kini merupakan ancaman kesihatan kepada negara, Sanofi Pasteur menganjurkan sebuah bengkel media bersempena Hari Denggi ASEAN untuk berkongsi maklumat terkini tentang sikap masyarakat terhadap wabak denggi yang mengancam negara.

5471 - Mr Baptiste De Clarens, Managing Director of Sanofi Pasteur giving his opening speech at the media workshop

Dalam ucapan aluannya kepada para peserta bengkel, Baptiste De Clarens, Pengarah Urusan Bahagian Vaksin untuk Sanofi Pasteur (Malaysia, Singapura dan Brunei) berkata: “Dengan peningkatan jangkitan denggi di Malaysia sekarang ini, membina kesedaran denggi perlu diutamakan. Pada 2014, terdapat peningkatan yang sangat tinggi bagi kes denggi, iaitu sebanyak tiga kali ganda berbanding 2013. Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah sikap tidak apa masyarakat mengenai topik denggi ini. Di Sanofi Pasteur, kami berasa bertanggungjawab supaya menyeru rakyat Malaysia untuk memberi perhatian kepada denggi. Adalah penting bahawa rakyat Malaysia memahami risiko denggi dan mengambil langkah-langkah yang proaktif untuk melindungi diri dari wabak yang sedang merebak di seluruh negara ini.”

Wabak Yang Bebas: SEMUA Orang Berisiko

Tanggapan Salah #1: Hanya bayi dan orang tua berisiko mendapat jangkitan denggi.

KENYATAAN: Semua orang, termasuk golongan muda berisiko mendapatnya. Seperti yang diketahui ramai, denggi adalah jangkitan virus bawaan nyamuk. Ia menunjukkan simptom-simptom seakan demam selesema yang teruk. Jika tidak dirawat, simptom-simptom ini boleh mengakibatkan demam denggi berdarah yang mungkin membawa maut.

Aedes

Dibawa oleh nyamuk Aedes aegypti, denggi merebak luas di kawasan tropika, dengan risiko variasi tempatan yang dipengaruhi oleh hujan, suhu dan pembangunan bandar yang cepat dan tidak terancang – semua ini adalah faktor-faktor utama yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berisiko tinggi. Malah, denggi sangat endemik di Malaysia di mana kesemua empat serotip virus denggi telah ditemui.

5587 - Associate Professor Dr Zetti Zainol lecture on 2014 Dengue Epidemiology and How All Malaysians Are At Risk from Dengue

Data yang dikongsi oleh Profesor Madya Dr Zetti Zainol Rashid, Pensyarah Kanan & Pakar Mikrobiologi Klinikal dari Jabatan Mikrobiologi & Imunologi Perubatan, Fakulti Perubatan – Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Kuala Lumpur menunjukkan bahawa semakin ramai golongan muda yang dijangkiti denggi.

Semua tahap umur dijangkiti denggi, malah kes yang tertinggi dicatatkan di kalangan remaja dan golongan muda yang berusia di antara 15 – 29 tahun. Walaupun jumlah kes di kalangan kanak-kanak semakin menurun, kira-kira 90% orang dewasa di Malaysia didapati seropositive, ini bermakna bahawa antibodi denggi berada di dalam badan mereka kerana mereka telah dijangkiti denggi sebelum ini. Kadar seropositivity juga didapati meningkat mengikut umur 4&5. Walaupun jangkitan dan pemulihan salah satu daripada empat serotip denggi memberikan imuniti sepanjang hayat bagi jenis serotip tersebut, namun jangkitan seterusnya atau jangkitan sekunder oleh serotip denggi yang lain akan meningkatkan risiko mendapat denggi yang lebih teruk atau demam denggi berdarah (dengue haemorrhagic fever, DHF).

Oleh itu, remaja dan golongan muda mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat jangkitan denggi yang lebih teruk. Kadar seropositivity yang tinggi di dalam populasi juga menandakan bahawa denggi akan kekal merebak di Malaysia untuk jangka masa yang lama.

Sikap Rakyat Malaysia: Tapi Saya Tahu Mengenai Denggi

Tanggapan Salah #2: Rakyat Malaysia menganggap mereka berpengetahuan tentang Denggi

KENYATAAN: Walaupun Kesedaran Mengenai Denggi adalah tinggi, hanya 11% menjangka mereka berisiko tinggi

Dalam sebuah kajian yang ditaja oleh Sanofi Pasteur dan dijalankan oleh syarikat penyelidikan pasaran global Ipsos yang bertajuk ‘Denggi: Memahami Pengetahuan dan Sikap Pengguna’, keputusannya menunjukkan bahawa walaupun 96% daripada 500 orang dewasa yang ditemubual tahu mengenai denggi, hanya 38% menganggap demam denggi sebagai penyakit yang mengancam nyawa dan hanya 11% berasa bahawa mereka berisiko tinggi dijangkiti denggi.

Golongan yang mengambil langkah-langkah pencegahan seperti memastikan persekitaran bersih dan mengelakkan penakungan air, berasa bahawa mereka tidak berisiko. Ini adalah andaian yang merbahaya, kerana transmisi berlaku dari seorang individu yang telah dijangkiti kepada nyamuk dan kemudian kepada individu yang lain.

5559 - Ms. Katharine Davis, Managing Director of Ipsos sharing findings from Sanofi Pasteur commissioned survey on dengue

Ketika sesi pembentangannya, Katherine Davis, Pengarah Urusan, Ipsos berkata: “Satu kesimpulan yang boleh dibuat melalui kaji selidik ini ialah kebanyakan orang menganggap bahawa mereka telah memberi sumbangan yang mencukupi dalam mencegah penyebaran penyakit ini di dalam parameter tanggungjawab mereka sendiri. Parameter yang dirujuk di sini ialah tanggungjawab mereka untuk memastikan rumah, laman dan kawasan persekitaran rumah mereka sendiri bebas dari kawasan nyamuk membiak.”

“Walau bagaimanapun, lebih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran bahawa denggi boleh mengancam nyawa; semua orang mempunyai risiko dan semua orang perlu memainkan peranan yang proaktif untuk mencegah penyebaran penyakit ini,” tambah beliau.

Tapi Saya Takkan Mati Kerana Denggi!

Tanggapan Salah #3: Denggi Tidak Mengancam Nyawa

KENYATAAN: Tiada Penawar Yang Diketahui Untuk Denggi, Pengesanan Awal Boleh Menyelamatkan Nyawa

Denggi yang teruk boleh mengakibatkan kerosakan organ, pendarahan teruk, dehidrasi, malah maut. Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa 500,000 orang dimasukkan ke hospital setiap tahun disebabkan denggi yang teruk dan kira-kira 2.5% dari golongan yang dijangkiti telah mati disebabkannya. Selepas anda pulih dari jangkitan denggi yang pertama, anda menjadi imun kepada virus serotip tersebut tetapi tidak kepada tiga serotip yang lain. Seseorang yang dijangkiti semula lebih cenderung untuk mendapat simptom-simptom yang lebih teruk.

5757 - Professor Datin Dr Chia Yook Chin, Department of Primary Care Medicine, Faculty of Medicine of University Malaya Medical Centre (UMMC) Kuala Lumpur sharing how early detection is vital when it comes to dengue

Dalam pembentangan yang bertajuk ‘Apabila Anda Menjadi Statistik – Pengurusan Denggi’, Profesor Datin Dr. Chia Yook Chin dari Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Fakulti Perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur (UMMC) menyatakan bahawa para pesakit yang mengalami simptom-simptom denggi yang paling serius biasanya kerana lambat dikesan. Kajian yang dijalankan oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 2008 oleh Profesor Dr. Lucy C. S. Lum mendapati bahawa penyakit akut yang dialami oleh pesakit denggi memberi kesan yang ketara ke atas aktiviti harian, fungsi sosial dan kesejahteraan emosi mereka.

Pengesanan awal adalah sangat penting untuk mengehadkan kesan virus denggi. Dapatkan rawatan dengan segera jika anda mengesyaki telah dijangkiti demam denggi. Pemeriksaan awal dan pengurusan simptom adalah penting untuk mengurangkan risiko komplikasi dan mengelakkan penyebaran lanjut virus ini.

Masa Hadapan Denggi

Memandangkan denggi dijangka akan terus meningkat diperingkat global disebabkan oleh faktor-faktor penyumbang seperti perubahan cuaca, evolusi virus dan faktor sosial seperti urbanisasi yang pantas, pertumbuhan populasi dan pembangunan, faktor sosioekonomi serta pelancongan dan perdagangan global, semua pihak sama ada individu, kerajaan dan badan-badan global kini perlu memandang ke hadapan.

5886 - Dr Shahnun Ahmad’s closing presentation on the future of dengue

“Sehingga kini, tiada rawatan antivirus khas untuk denggi. Penjagaan pesakit, pengawasan teliti dan pengurusan simptom dengan cepat adalah kaedah rawatan yang biasa digunakan,” kata Dr. Shahnun Ahmad, Pengarah Perubatan Bersekutu bagi Sanofi Pasteur Malaysia. Beban penyakit denggi di Malaysia dianggarkan berjumlah US$102 (95% CI: 78–311) juta setahun (RM359.79 juta), kira-kira US$3.72 (RM13.08) per kapita.

“Sanofi Pasteur menyedari keperluan untuk meningkatkan langkah-langkah pencegahan denggi dan kini aktif menyokong inisiatif pendidikan awam di rantau ASEAN untuk mengurangkan beban penyakit ini. Dengan mendekati orang ramai melalui ‘Dengue Mission Buzz’. dan menawarkan tip-tip berguna mengenai pencegahan denggi. Kami berazam untuk memperkasakan masyarakat untuk mengambil tindakan ke atas langkah-langkah pencegahan denggi, meningkatkan kesedaran denggi di semua peringkat masyarakat dan akhirnya mencapai keputusan kesihatan yang lebih baik di rantau ini,” tambah Baptiste de Clarens.

5459 - Media bloggers

Kes denggi dan kematian akibat denggi hanya boleh dikurangkan melalui pendidikan yang berkesan dan penyebaran data serta fakta melalui media massa dan saluran-saluran lain. Mencegah penyebaran denggi memerlukan penyertaan dari semua orang dan tindakan yang betul dari pihak yang bertanggungjawab untuk mencipta dan melaksanakan program pencegahan dan kawalan denggi.

Untuk maklumat lanjut mengenai denggi, punca, simptom dan langkah pencegahannya, sila layari www.sanofipasteur.com

1 comment on “Denggi Tidak Memilih Mangsa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge