KEMAS Anjur Acara Open Day Untuk Kesedaran Pelbagai Program Kemajuan Masyarakat Telah Disediakan. Assalammualaikum semua! Alhamdulillah kembali bersiaran pada hari ini! Tahu tak anda KEMAS itu apa? TABIKA? Itu aje? Sebenarnya, KEMAS tu banyak sangat program selain TABIKA yang anda semua sedia maklum. Ruby rasa kekurangan pengetahuan tentang program dari KEMAS mungkin kita di bandar. Teringat masa ruby kecil dulu, masuk TABIKA di kampung. Seronok sangat. Sebab tu kenangan kita semua di TABIKA lebih kuat kan? Belajar ABC, nombor, makan, hari fotografi, hari pakaian tradisional dan graduasi. Bestnyaaa! Rindu TABIKA.
KEMAS Anjur Acara Open Day
Program “Open Day” Hari Kemahiran Peringkat Zon 1 KEMAS Wilayah Persekutuan akan diadakan pada 6-7 April 2019 bertempat di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Kg. Sri Batu, Kuala Lumpur. Program ini menjurus kepada gabung jalin program yang terdapat di Parlimen Batu, Segambut dan Kepong.
Program ini dilaksanakan bertujuan memperkenalkan kepada masyarakat berkenaan kelas-kelas kemahiran KEMAS dan akan membuka ruang untuk pendaftaran kelas bagi mereka yang berminat untuk menyertai kelas-kelas kemahiran KEMAS khususnya di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Kg. Sri Batu Kuala Lumpur dan umumnya kelas kemahiran di seluruh Wilayah Persekutuan. Kelas-kelas yang ditawarkan adalah Pusat Masakan, Pusat Jahitan, Pusat Dandanan Diri, Pusat Literasi Komputer, Pendidikan Kesejahteraan Keluarga, Bina Insan dan Pusat Sumber.
Mengenai KEMAS
KEMAS adalah singkatan dari nama Jabatan Kemajuan Masyarakat. Jabatan Kemajuan Masyarakat atau lebih sinonim dikalangan khalayak umum sebagai KEMAS adalah lanjutan dari Bahagian Pelajaran Dewasa yang telah ditubuhkan pada 1961, melalui kertas kabinet Bil.385/25/60 dengan memberi fokus utama kepada program “Pembasmian Buta Huruf”. Masih ingat filem Allahyarham Tan Sri Dr. P.Ramlee iaitu Pendekar Bujang Lapok yang Pergi Sekolah tuuu.
Menjelang tahun 1977, gerakan membasmi buta huruf ini telah dipertingkatkan dengan pengenalan konsep ‘Functional Literacy’ oleh UNESCO sebagai satu usaha untuk menjadikan gerakan membasmi kemiskinan sebagai salah satu strategi membangunkan masyarakat luar bandar.
Berikutan pelancaran “Dasar Ekonomi Baru” (1970), Bahagian ini telah ditukar namanya kepada “Jabatan Kemajuan Masyarakat” (KEMAS) dengan penekanan kepada usaha-usaha pembangunan masyarakat dalam erti kata sebenar.
Program “Open Day” Hari Kemahiran Peringkat Zon 1 KEMAS Wilayah Persekutuan
Semasa Program Open Day selama 2 hari tersebut, anda boleh alami sendiri pengalaman belajar kursus pendek di KEMAS. Masyarakat dapat melihat sendiri secara langsung (Live Show) kursus-kursus yang dijalankan oleh KEMAS semasa program “Open Day”. Diantara kursus yang tersedia pada hari tersebut adalah Photo Phone, Kursus Jom Cantik, Kursus Perencah Masakan dan Kursus Jahitan Variasi Langsir. Kursus-kursus ini adalah anjuran KEMAS yang diberikan kepada masyarakat secara PERCUMA bagi meningkatkan tahap kebolehpasaran peserta.
Pelbagai aktiviti yang menarik akan dijalankan pada Hari Kemahiran tersebut antaranya Pertandingan Batu Idol, Liga Penalti, Cabutan Bertuah, Zumba, Fun Games, Pelbagai Jenis Jualan Makanan Dan Minuman, Car Booth Sale, Jualan Ikan Segar, Jualan Pakaian Bundle, Cucian Barang Kemas Percuma, Khidmat Pengiraan Barang Kemas , Penerangan Ar-Rahnu Dan Tabung Ibadah Korban YaPIEM.
Slot Wacana Ilmu : Wanita Inspirasi (WINS)
Kemuncak kepada aktiviti program ini ada Slot Wacana Ilmu : Wanita Inspirasi (WINS) dengan mengundang dua (2) org panel yang akan memberi inspirasi, motivasi dan perkongsian pengalaman kepada masyarakat dalam iaitu Heliza Helmi (1 Way Tiket) Amira Ann Lee (Hidayah Dan Hijrah) dan program ini membuat penampilan khas Bazli Unic yang akan turut berkongsi berkenaan (Business Growth Experience). Slot ini bertujuan Meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan peranan wanita dalam institusi komuniti luar bandar.
Bagi menyempurnakan program ini, pihak KEMAS bersama MPP Parlimen Batu telah menjemput YB Tuan P.Prabakaran sebagai Ahli Parlimen Batu untuk merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program yang akan turut sama dihadiri oleh YB Puan Hannah Yeoh iaitu Ahli Parlimen Segambut dan YB Tuan Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Kepong. Di dalam majlis ini juga YB Tuan P.Prabakaran juga akan turut melancarkan Kelas Digital Marketing yang akan dilaksanakan oleh KEMAS bermula April 2019.
Objektif KEMAS
KEMAS mengorak langkah dengan menetapkan visi “Penggerak Kesejahteraan Masyarakat Luar Bandar” dan misi “Memperkasa Masyarakat Luar Bandar Ke Arah Pembangunan Holistik” selaras dengan Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar (2018-2023).
Objektif KEMAS diperbaharui dengan memberi penekanan kepada pemerkasaan pendidikan awal kanak-kanak melalui perkembangan sosioemosi, fizikal, intelek dan rohani berdasarkan piawaian/standard yang telah ditetapkan selari dengan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dan Kurikulum PERMATA Negara, Memberi latihan kemahiran yang berkualiti dan diiktiraf bagi mengupayakan ekonomi keluarga luar bandar, Memperkasa sosioekonomi masyarakat luar bandar yang harmoni, berjaya dan sejahtera dan Meningkatkan pembangunan modal insan yang bersesuaian melalui program pembangunan sumber manusia yang berteraskan pembangunan kompetensi dan kemajuan kerjaya (Attitude, Skills & Knowledge).
Anjuran & Kerjasama Rakan Strategik
Program ini adalah anjuran bersama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Batu dan rakan strategik adalah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kami Insan Tanah Air (K.I.T.A), Kolej Universiti Koperasi Polis (UNIKOP), Koperasi KEMAS Kuala Lumpur Berhad (KWIP), Persatuan Wanita Unity Malaysia (PERWIM). Turut serta ruby.my yang akan menjadi media rasmi sepanjang program ini berlangsung. Kerjasama ini dilaksanakan bagi memastikan sistem penyampaian yang lebih berkesan menerapkan nilai kesukarelawan & amalan kerjasama di kalangan komuniti setempat.
Hubungi KEMAS
Masyarakat yang berminat untuk menyertai kelas-kelas kemahiran boleh membuat pendaftaran pada 6-7 April 2019 atau boleh menghubungi pegawai-pegawai mengikut parlimen masing-masing. Parlimen Batu Puan Wan Fadelah 016-2189109, Parlimen Segambut Puan Rohani 017-2730674 parlimen segambut Puan Rostina 011-27582143.