IPC SHOPPING CENTRE RECYCLING AND BUY BACK CENTRE (RBBC) BERWAJAH BARU DENGAN EKOSISTEM DIGITAL | Assalammualaikum semua! Hari ini 21 Julai 2022 telah berlangsung perasmian wajah baru Recycling & Buy-Back Centre (RBBC) di IPC Shopping Centre. Jika anda sering menghantar barang untuk di kitar semula, pasti anda mahir dengan lokasi IPC RBBC yang terletak di kawasan parkir P1/LG1 (berhampiran Ladies Parking) IPC Shopping Centre.
Sejak servis ini disediakan pada tahun 2009, sudah 3 kali ia dinaiktaraf seiring dengan peredaran teknologi. 2009 ketika itu lokasi di Loading Bay. Waktu operasi masa tu 10 pagi hingga 6 petang. Kemudian pada 2017 mereka tukar ke lokasi yang lebih selesa. Ketika peralihan ini, kita perlu tunggu pekerja bertugas untuk timbang dan kira wang hasil kita semula.
Sekarang, di lokasi yang sama, dibuka dari 8 pagi hingga 10 malam tanpa perlu memanggil abang kitar semula. Hanya menggunakan aplikasi IPC, scan kod QR, masukkan barang yang ingin di kitar semula mengikut kategori yang disediakan. Sekarang ada 15 kategori tau! Paling best RBBC dibuka setiap hari, termasuk cuti umum. Tiada alasan untuk tidak kitar semula! Jom bersihkan barang yang boleh di kitar semula dan asingkan siap-siap.
IPC SHOPPING CENTRE RECYCLING AND BUY BACK CENTRE (RBBC) BERWAJAH BARU DENGAN EKOSISTEM DIGITAL
IPC Shopping Centre memperkenalkan Recycling & Buy-Back Centre (RBBC) yang telah dinaiktaraf bagi memupuk dan menggalakkan kehidupan lestari dalam kalangan komuniti pusat beli-belah itu.
Malah, terus memperjuangkan pusat kitar semula sebagai sebuah hab pelupusan sisa dan menggalakkan gaya hidup yang lebih hijau. Penambahbaikan ini terdiri dari ciri-ciri baharu, bagi meningkatkan lagi perjalanan kitar semula para pengguna dengan pengalaman yang serba lancar dan digital.
Ditempatkan di lokasi yang sama iaitu di kawasan tempat letak kereta P1, IPC RBBC baharu ini menampilkan estetika reka bentuk Scandinavia yang ceria bertenaga, dan dilengkapi dengan tempat pelupusan pelbagai kategori sisa yang berbeza mengikut warna pelangi dengan gaya digital baharu yang ringkas lagi kemas.
15 KATEGORI TERSEDIA
Ia turut ditempatkan di lokasi yang strategik bagi memberikan akses mudah kepada para pelanggan untuk menghantar sisa kitar semula apabila mereka berkunjung ke IPC Shopping Centre. Sejak ia ditubuhkan pada 2009, pusat itu bermula dengan enam kategori kitar semula iaitu kadbod, surat khabar, kertas, plastik, besi, dan aluminium.
Versi digital yang telah dinaiktaraf hari ini menerima pelbagai lagi jenis sisa kitar semula seperti karton minuman, polisterin, dan tekstil. Selain itu, RBBC baharu ini juga boleh menerima sisa yang termasuk dalam kategori tidak boleh dikitar semula seperti tiub dan mentol lampu, ubat-ubatan, kaca, bateri, sisa elektronik dan sisa makanan sebagai usaha untuk mengurangkan lambakan sisa di tapak pelupusan sampah.
Sisa yang berbahaya seperti kaca, bateri dan elektronik akan dikendalikan secara profesional dan dilupuskan dengan selamat bagi mengelak pencemaran alam sekitar yang diakibatkan oleh toksin dan memastikan bahagian-bahagian yang boleh dikitar semula dikendalikan dengan betul untuk diguna semula di masa depan.
TERAPKAN BUDAYA KITAR SEMULA SEBAHAGIAN DARI GAYA HIDUP KITA
Dari kiri Cik Karyn Lim; Pengurus Besar IPC Shopping Centre dan Cik Natasha Aziz, Head of Customer Experience & Digital of Ikano Centres. |
Cik Karyn Lim; Pengurus Besar IPC Shopping Centre berkata, “Kami telah mengubah suai RBBC kami menjadi sebuah tempat pengumpulan sisa kitar semula digital layan diri dengan rekaan dalaman yang serba baharu, bagi menjadi sebuah pusat komuniti hijau yang menarik dan bersepadu dengan perniagaan kami.RBBC yang telah dinaiktaraf ini menghubungkan program kesetiaan kami dengan para pembeli-belah dan penyewa, menjadikan setiap gram usaha untuk menjadi lebih hijau mereka berbaloi. Ia menyediakan mekanisme berkonsepkan mesin layan diri digital mesra pengguna bagi meningkatkan lagi pengalaman pengguna dengan kaedah lebih lestari.Kami berharap untuk memberikan inspirasi dan memupuk komuniti yang lebih hijau menerusi pendigitalan RBBC bagi memastikan alam sekitar kita kekal hijau dan mendidik generasi muda ke arah menjadikan kitar semula sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian kita.”
GANJARAN DALAM BENTUK TACK POINT DAN BOLEH DIMANFAATKAN MELALUI IPC TACK CLUB
Cik Natasha Aziz, Head of Customer Experience & Digital of Ikano Centres berkata, “Kelestarian sememangnya menjadi teras amalan perniagaan Ikano Centres yang merangkumi semua pusat beli-belah kami. Memandangkan pusat beli-belah kami adalah nadi dan hab komuniti kami, kami sentiasa serius dan bersemangat dalam memainkan peranan kami untuk menggalakkan amalan lestari.RBBC baharu yang telah dinaiktaraf di IPC Shopping Centre ini menjadi contoh terbaik usaha untuk mengukuhkan lagi komitmen kami bagi menggalakkan komuniti kami mencipta impak positif yang lebih besar terhadap masyarakat dan planet ini.”
IPC RBBC MAJU DENGAN EKOSISTEM DIGITAL
Pengalaman digital baharu ini juga berupaya meningkatkan lagi ketepatan pengumpulan data sisa kitar semula yang kemudiannya akan meningkatkan lagi tahap kecekapan operasi dan meningkatkan kesetiaan bagi merancang dan melaksanakan program-program ganjaran dan pemasaran yang taktikal.
Pelanggan yang mengitar semula dengan RBBC akan diberikan mata ganjaran yang berkait dengan keahlian IPC Tack Club melalui aplikasi mudah alih. Mata akan diberikan mengikut kategori dan berat sisa kitar semula yang kemudiannya boleh ditebus bagi mendapatkan e-baucar membeli-belah, parkir percuma, dan banyak lagi.
RBBC IPC baharu ini turut menampilkan skrin sentuh interaktif mesra pengguna yang mudah dicapai dan digunakan termasuk oleh kanak-kanak, untuk mendeposit sisa kitar semula. Ini turut menjadikannya sebagai platform dan hab terbaik untuk mendidik, memupuk, dan menyemai tabiat hijau di kalangan kanak-kanak sejak usia muda, di samping menjadikan kitar semula sebagai aktiviti yang menyeronokkan bersama keluarga.
RBBC IPC baharu yang telah dinaiktaraf ini turut menumpukan kepada penggunaan bahan-bahan lestari seperti bahan pembinaan hijau AAC untuk blok dinding yang ringan, bahan perekat berwarna-warni dan cat yang rendah kandungan sebatian organik meruap (VOC), cat ruang dalaman berasaskan air dan pencahayaan LED termaju bagi menjimatkan tenaga elektrik.
IPC RBBC AKTIF BEKERJASAMA DENGAN PELBAGAI BADAN KEBAJIKAN
Selain daripada itu, IPC turut mengitar semula kain rentang terpakai yang dikumpulkan daripada para penyewa untuk dijahit dan dijadikan beg guna semula dengan kerjasama NGO tempatan, Woman of Will.
IPC turut bekerjasama dengan pelbagai rakan kitar semula bagi memproses dan mengguna semula sisa yang dikumpulkan di RBBC seperti Kualiti Alam Hijau untuk melupuskan dengan betul sisa-sia merbahaya seperti tiub dan mentol lampu, bateri, dan ubat-ubatan. Terdapat pelbagai rakan kitar semula untuk setiap jenis sisa seperti kertas, besi dan aluminium, kaca dan polisterin, tekstil serta plastik.
INISIATIF DAN STRATEGI HIJAU IPC
IPC Shopping Centre turut melaksanakan pelbagai strategi hijau yang lain bagi memastikan dan memupuk kehidupan yang lebih sihat, hijau dan lestari. Di antara inisiatif-inisiatif tersebut termasuklah penggunaan teknologi tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy Technology) dengan pemasangan 2,370 panel solar di atas bumbung bangunan dan pengumpulan air hujan yang ditapis dan digunakan untuk mencuci tandas dan untuk tujuan landskap.
Pusat beli-belah ini turut mempunyai sistem pengasingan sisa yang berjaya mengurangkan 50% sisa am, yang mana ia dilaksanakan dengan kerjasama semua peniaga makanan dan minuman di pusat beli-belah ini untuk sisa makanan dan boleh kitar semula. IPC turut bekerjasama dengan IKEA dan Kloth Cares bagi mengitar semula sisa-sisa tekstil.
GREEN TENANT AWARD
Pada tahun ini, pusat beli-belah itu telah menganjurkan sebuah program rintis yang dikenali sebagai anugerah ‘Penyewa Hijau’ atau ‘Green Tenant’, di mana setiap sisa yang dikitar semula dan dibuang ke tapak pelupusan sampah oleh para penyewa akan dihitung dan direkodkan.
Program ini berlangsung dari Januari hingga Disember 2022 dengan objektif untuk menggalakkan amalan kitar semula dan mengurangkan pembuangan sisa ke tapak pelupusan sampah di kalangan para penyewa, sebagai sebahagian daripada inisiatif hijau mereka dalam mencapai matlamat sifar pembuangan sisa ke tapak pelupusan sampah.
KEMPEN HIJAU IPC 2022 – “SMARTER, GREENER, TOGETHER”
Sempena pelancaran RBBC baharu yang telah dinaiktaraf ini, IPC Sopping Centre turut menganjurkan kempen hijau kitar semula di mana mereka menawarkan ganjaran berganda untuk sisa kertas, plastik, dan aluminium menerusi kempen hijau tahunan “Smarter, Greener, Together”.
Bermula dari 1 Julai hingga 4 September 2022, dengan kerjasama Nestlé dan Tumboh, para pembeli-belah yang menghantar sisa kitar semula mengikut berat yang dinyatakan di bawah ini layak untuk menerima ganjaran berikut daripada i-Counter yang terletak di Tingkat Bawah:
Min 6kg sisa kitar semula
Tack Points, dua e-baucar RM5 dan cecair pencuci tangan daripada Tumboh*
Minima 10kg sisa kitar semula
Tack Points, dua e-baucar RM5, cecair pencuci tangan daripada Tumboh dan Set Mangkuk Mavaron IPC*
Karton minuman boleh kitar semula dengan kerjasama Projek MILO UHT CAREton.
50 pengitar semula terbaik karton minuman terpakai akan menerima 1 kluster Milo UHT 125ml dan satu kad Milo Touch ‘n Go edisi terhad
*Ganjaran hanya terpakai untuk pengumpulan setiap kategori: plastik, aluminium dan kertas
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengalaman RBBC IPC Shopping Centre yang telah dinaiktaraf, sila kunjungi www.ipc.com.my/RBBC dan www.ipc.com.my/smartergreen untuk kempen ‘Smarter, Greener, Together’.
MENGENAI IPC SHOPPING CENTRE
Pusat beli-belah pertama di Malaysia yang oleh IKEA, dan yang pertama daripada banyak pusat beli-belah dalam portfolio IKEA Asia Tenggara di rantau ini. Pusat membeli-belah sub serantau yang terletak strategik di tengah-tengah pembangunan bercampur pejabat, hotel, pusat komersial & kediaman.
Ia berfungsi sebagai destinasi membeli-belah kejiranan untuk masyarakat, melengkapkan hab membeli-belah di daerah yang dikenali sebagai Mutiara Damansara Commercial Centre. Mula beroperasi sejak Disember 2003 dan hari ini telah mengalu-alukan kunjungan purata 15 juta pelawat setahun.
Tags
Berita
Ooo baguslah macam ni, senang kita nak terus walk-in gitu yerr.. tak susah-susah mencari..kat JB ni ada ke tak ya macam ni..
BalasPadam