MOVIE REVIEW: GADIS JOLOBU THE MOVIE

Assalammualaikum semua! Kita kembali ke segmen ulasan filem! Kali ini adalah filem bergenre komedi romantis. Kelainan dalam filem ini adalah, ia berbahasa dialek Negeri Sembilan. Seronok dengar tiap patah perkataan dalam Baso Nogoghi. Rasa lagi bertambah kelakar filem ni. Uniknya, Ruby faham setiap dialog. Mungkin ada darah kacukan Minangkabau dalam diri ini. Hahaha. 

Review kali ini macam biasa Ruby akan serius dan siap spoil sekali. Hahaha. Cerita kelakar, takkan la nak serius sangat kan. Ruby tidak henti ketawa sepanjang menonton filem Gadis Jolobu The Movie ni. Cuma Ruby rasa filem ni ada bahagian yang mereka tidak sempat untuk ulas panjang. 

MOVIE REVIEW: GADIS JOLOBU THE MOVIE


Adat resam Minangkabau terdiri dari dua iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Ruby teringin mengetahui suku kaum yang mengamalkan adat ini. Amalan ini bukan mistik, tetapi lebih kepada sistem sosial amalan pembahagian harta. Adat Perpatih mewariskan harta pusaka dari wanita (ibu/wan(nenek)/moyang wanita) kepada anak perempuan manakala Adat Temenggung mewariskan harta pusaka dari lelaki (ayah/tok/moyang kelaki) kepada anak lelaki.

Gadis Jolobu The Movie mengetengahkan elemen Adat Perpatih. Ada babak pemberian harta dari Wan kepada Jijah. Selain dari harta, masyarakat Minangkabau memiliki keunikan dari segi budaya melayani tetamu. Cuma di dalam filem ini lebih kepada kisah 3 bujang terlajak yang bertemu jodoh dengan anak dara sekampung.

Seronok dapat tahu tentang sejarah peradaban manusia dalam filem komedi. Lebih mudah untuk faham. Betul kan? Cuma, ada beberapa adegan yang tidak perlu dipaparkan dalam filem komedi tradisional begini. Dari kita sedap tengok tradisi dan dialek Negeri Sembilan yang lucu, tiba-tiba ada adegan gangster kampung, penculikan, paparan pinggul wanita, imaginasi dan lain-lain. Semoga selepas ini tiada adegan sebegini lagi. Kita nak bawa sekeluarga menonton. Takkan anak-anak nak tengok cerita begini? 

Selain itu, filem ini lebih puas ditonton di pawagam GSC yang skrin serba luas. Hall BIG di Starling Mall memang best. Bukannya apa, kualiti filem ini bagus. Sudut ambilan video luas, tiada gegaran dan permainan warna cun! Nampak hasil filem ini jelas dan cantik. 4K High Dynamic Range kot? Tahniah kepada Dato' Hattan kerana memasukkan lagu-lagu nostalgia best di dalam Gadis Jolobu The Movie. Love! 

GADIS JOLOBU THE MOVIE


Terbitan: Tremendous Entertainment & Zebra Studio Sdn Bhd
Pengarah: CL HOR
Pengedar: GSC Movies
Tarikh Tayangan: 4 Ogos 2022
Bahasa: Bahasa Melayu
Genre: Romantik, Komedi
Klasifikasi: P13
Sari Kata: Bahasa Melayu / English
Durasi Tayangan: 100 minit (1 jam, 40 minit)
Pelakon: Dato' Hattan (Atan), Khir Rahman (Acong), Joey Daud (Ajoi), Ahirine Ahirudin (Jijah)
Trailer:


SINOPSI GADIS JOLOBU THE MOVIE


“Gadis Jolobu The Movie” memaparkan kisah komedi tentang 3 bujang terlajak yang sangat rapat sejak kecil, dalam usaha untuk mencari jodoh masing-masing di kampung halaman mereka. Sumpahan “Lambat Sunat, Lambatlah kahwin” sering bermain difikiran membuatkan mereka berusaha untuk mencari jodoh mereka walaupun menghadapi pelbagai dugaan. Filem ini turut mengetengahkan beberapa elemen “adat pepatih” dan keunikan budaya Minangkabau masyarakat setempat di Negeri Sembilan.

GADIS JOLOBU THE MOVIE TERCETUS DARI LAGU DATO' HATTAN


Pengasas dan Pengarah Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi berkata, idea menghasilkan filem ini tercetus ketika bertemu dengan Dato' Hattan pada 2019.

“Ia susulan sambutan lagu duet Hattan bersama Waris, Gadis Jolobu meraih tontonan hampir 10 juta menerusi laman YouTube. Sebagai legenda rock, Hattan tidak pernah memegang watak hero sepanjang berkecimpung dalam industri seni tanah air,” katanya.

Kata Saraleana lagi, pihaknya juga berbincang dengan Hattan untuk menghasilkan filem yang mempunyai elemen muzikal dan banyak lagu seperti zaman Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan filem Bujang Lapok dulu.

“Bukan senang menampilkan filem genre komedi yang ada sentuhan klasik, tetapi pengarah berpengalaman seperti CL Hor berjaya merealisasikannya,” katanya. 


Mengulas penampilan Ahirine, kata Saraleana, sebagai penerbit visinya untuk mengetengahkan bakat baharu dalam industri seni.

“Pengarah, CL Hor sendiri memilih Ahirine menerusi proses uji bakat. Ahirine bukan sahaja memiliki kecantikan asli, malah, sanggup belajar dialek Negeri Sembilan walaupun gadis dibesarkan di bandar. Saya berpuas hati dengan hasil lakonan Ahirine sebagai muka baru dalam industri seni,” katanya.

Beralih cabaran sebagai penerbit, Saraleana berkata, dia perlu menyelesaikan penggambaran filem Gadis Jolobu The Movie dalam tempoh 14 hari ditetapkan.

“Penggambaran filem membabitkan lokasi sawah padi di Kampung Lonek, Batu Kikir, Negeri Sembilan pada Mac lalu. Saya turun padang dalam keadaan cuaca panas untuk memastikan filem ini selesai penggambaran dalam tempoh ditetapkan. Saya bersyukur Golden Screen Cinemas (GSC) memberi sokongan pada pembikinan filem dan memilih tarikh tayangannya pada 4 Ogos ini,” katanya.


Menyentuh soal kutipan filem, Saraleana berkata, dia tidak mensasarkan kutipan pecah panggung di pawagam tempatan.

“Kami terbit filem Gadis Jolobu The Movie untuk pasaran Malaysia dan peringkat global. Selepas selesai tayangan di pawagam tempatan pada Ogos, filem ini akan di bawa ke Brunei Darussalam, Indonesia dan Thailand. Kami juga merancang untuk melakukan wayang pacak filem Gadis Jolobu The Movie sekitar Negeri Sembilan pada September depan,” katanya.

Filem Gadis Jolobu The Movie akan menemui penonton di pawagam GSC di seluruh negara pada 4 Ogos ini, manakala platform Over-The Top (OTT), Get PLAY tidak lama lagi. 

PERHATIAN: Pihak RUBY.MY tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca. Sila pastikan anda fikir terlebih dahulu sebelum meninggalkan komen yang berbaur negatif. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Setiap penulisan dan komen adalah termaktub dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. Akta ini merupakan undang-undang siber yang digubal di Malaysia pada 15 Oktober 1998, dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 23 September 1998. Ia mula berkuatkuasa pada 1 April 1999.

Seseorang yang melanggar atau melakukan kesalahan akan disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

أحدث أقدم

نموذج الاتصال