PELAPORAN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH (PBD) | Assalammualaikum semua! Musim Ibu Bapa hadir ke sekolah untuk Hari Laporan, Parent Teacher Day, Hari Waris, Hari Mesra Pelanggan dan macam-macam nama unik sekolah sediakan. Namun, ia adalah program yang sama iaitu Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
PELAPORAN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH (PBD)
Ini adalah kali pertama Ruby hadir ke sekolah untuk berjumpa dengan guru kelas dan mendengar komen secara terus mengenaik anak teruna ku Adam Solihin dan Alif Daniel. Hari Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah tidak diadakan sejak dunia dilanda Pandemik COVID-19. Ramai pihak terkesan dalam memberi pendidikan yang terbaik kepada anak-anak bangsa.
Guru, pelajar, ibu bapa dan sistem pendidikan sangat terkesan. Ruby masih ingat lagi semasa Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dilaksanakan. Kepayahan yang kami hadapi adalah kami suami isteri tidak mahir dalam mengajar. Setiap kali selepas kelas Google Meet, terus buat ulangkaji pelajaran. Sebab tidak mahu ilmu semasa kelas dalam talian berlalu begitu sahaja.
Kemudian sesi persekolahan bersemuka bermula. Kami semua tawakal sahaja walau masih risau dengan wabak COVID-19. Setiap hari pesan kepada Adam dan Alif agar menjaga kebersihan diri, basuh tangan, pakai pelitup muka, sanitasi kawasan belajar di dalam kelas, sentiasa jaga adab apabila batuk dan bersin di khalayak ramai. Tiada kongsi-kongsi alat tulis.
Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah kami mulakan dengan kelas Adam dahulu. Baratur daftar dan dapat nombor. Kemudian masuk ke dewan untuk taklimat ringkas. Kami dapat nombor 4 dan semasa giliran tiba, Adam teruja nampak ibu ayah dia. Sedangkan kami berdua suami isteri risau nak dengar apa komen dari guru kelas.
Tahun 2022 baru bersekolah bersemuka. Kehadiran Adam ke sekolah pun baik. Tiada ponteng-ponteng. Siap dapat hadiah baucar RM 5 untuk belanja di kantin atau kedai buku. Masa dia dapat voucer ni, guru panggil ketika perhimpunan hari Isnin. Alif dengar nama abang Adam kena panggil, dia balik je sekolah terus cerita. Cikgu panggil Adam naik pentas Ibu. Adik nampak. Teruja tengok abang dia. Hehehe.
Tahu apa Adam nak buat dengan baucar RM 5 tu? Dia cakap dekat Ruby nak beli Baju Sukan. Baju sukan yang lama dah sempit nak pakai. Baju Sukan RM 23, maknanya Ibu kena tambah lagi RM 18. Bijak sungguh. Hahaha.
Kami pupuk rasa seronok menimba ilmu di sekolah. Vitamin tak lupa amalkan. Sentiasa jaga penampilan dan kekemasan. Kami nak anak-anak miliki persekitaran sihat semasa di sekolah dan dalam kelas. Secara automatik guru selesa mengajar anak-anak.
PELAPORAN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH (PBD) - ADAM SOLIHIN (TAHUN 2)
Sepanjang sesi persekolahan dimulakan. Banyak peningkatan pembelajaran dari Adam. Dah lancar membaca dan berdikari selesai tugasan yang di beri oleh guru. Ruby sangat bangga. Sebab peralihan dari PdPR ke sesi bersemuka sememangnya tidak mudah. Alhamdulillah Adam dah cuba sedaya upaya. Seronok ke sekolah dan pihak pentadbiran sekolah juga sudah mula aktif mengadakan pelbagai program.
Paling utama adalah akademik. Jujur Ruby terkejut dengan Tahap Penguasaan Adam pada TP 3 dan TP 4. Dalam 9 subjek tahun 2, TP 4 adalah mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Seni Visual sahaja. Manakala bagi TP 3 adalah untuk mata pelajaran Matematik, Sains, Pendidikan Islam, Bahasa Arab, Pendidikan Muzik dan Pendidikan Jasmani & Pendidikan Kesihatan.
Tahap Penguasaan yang terbaik adalah di antara TP 5 atau TP 6. Jadi, Adam masih ada masa lagi untuk beri perhatian kepada mata pelajaran yang dia lemah. Ruby juga perlu beri perhatian lebih untuk membantu Adam dan dalam masa yang sama perlu tahu bagaimana guru menilai anak-anak.
Pada tahun 2020, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin telah mengumumkan pemansuhan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai 2021 sekali gus memberi tumpuan terhadap pemerkasaan PBS manakala kemasukan ke sekolah berasrama penuh dan sebagainya mulai 2022 adalah berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).
Maka, bertambah risau lah Ibu dan Ayah dengan semua ini. Walau risau, Ruby ada mencari info bacaan untuk rujukan. Supaya boleh bersiap sedia dengan cara Pentaksiran Bilik Darjah. Harap anak-anak dapat seimbangkan akademik dengan program yang disediakan oleh sekolah.
Guru pun pening kepala perlu beri semangat kepada pelajar untuk menyertai semua program. Ibu bapa perlu bersedia untuk menyediakan dana pakaian jika jadi pengawas, pakaian beruniform atau yuran lawatan kemana-mana.
Zaman persekolahan paling seronok melihat dunia. Cuma, zaman anak kita ni ketika zaman inflasi. Ibu termenung. Semoga kita semua terus bertahan dan berjuang demi anak-anak. InsyaAllah.
PELAPORAN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH (PBD) - ALIF DANIEL (PRASEKOLAH)
Sesi berjumpa guru kelas Alif ni lama sikit. Sebab 9 komponen ada pecahan perkara. Guru Prasekolah Alif ni bertungkus lumus mengajar anak-anak Pra agar boleh kenal huruf, nombor, boleh membaca, boleh menghafal dan memupuk nilai murni dalam berkawan.
Prasekolah di dalam kawasan sekolah memberi Alif gambaran awal bagaimana suasana persekolahan. Alif tidak berkesempatan masuk mana-mana preschool sebab pandemik COVID-19 melanda negara pada tahun 2020 ketika dia berusia 4 tahun.
Cuma, kami ada hantar ke nursery dari Alif bayi hingga usia 3 tahun. Jadi, sepanjang PKP kami di rumah mengajar perkara asas sahaja. Namun, kepakaran sebagai tenaga pengajar seperti guru tu kami suami isteri memang tiada. Bayak perkara kami lakukan adalah mewarna, menulis huruf dan nombor ikut titik tu sahaja.
Alhamdulillah perkembangan Alif di Prasekolah sangat positif. Harap masa Tahun 1 2023, Alif bersedia. InsyaAllah.
KENALI PENTAKSIRAN BILIK DARJAH (PBD)
1. Apakah PBD?
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan pentaksiran yang berterusan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid. PBD berlaku secara formatif dan sumatif; sebagai pembelajaran, untuk pembelajaran dan tentang pembelajaran.
2. Bila PBD bermula?
PBD dahulunya dikenali sebagai Pentaksiran Sekolah (PS) bermula pada tahun 2011. Pada tahun 2016, PS mula dikenali sebagai PBD.
3. Apakah perbezaan PBD dan PBS?
PBS ialah Pentaksiran Berasaskan Sekolah, suatu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani). Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu terdapat empat komponen dalam PBS iaitu Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
PBD pula ialah pentaksiran yang berlaku secara berterusan sepanjang PdP, bagi semua mata pelajaran. PBD bukanlah untuk membandingkan tahap penguasaan antara seorang murid dengan murid yang lain, tetapi ia bertujuan untuk melihat perkembangan kemajuan murid dalam pembelajaran di samping membantu guru menambah baik pengajaran mereka.
4. Apakah mata pelajaran yang terlibat dengan PBD?
Semua mata pelajaran KSSR dan KSSM.
Pelaksanaan konsep PBD berlaku secara berterusan dari Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah.
5. Mengapakah PBD penting?
PBD dapat membantu guru dalam:
- Mengesan perkembangan murid secara menyeluruh.
- Mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran.
- Mengetahui keberkesanan pengajaran.
- Merancang dan mengubah suai kaedah pengajaran.
- Mengambil tindakan susulan yang sesuai dengan serta merta
6. Bagaimanakah PBD dilaksanakan?
PBD dilaksanakan secara berterusan sepanjang proses PdP sepanjang tahun. PBD dilaksanakan melalui pelbagai kaedah pentaksiran seperti:
- Pemerhatian
- Penulisan
- Lisan
Melalui kerja projek, kuiz, pembentangan dan-lain- lain aktiviti pembelajaran, berdasarkan Standard Prestasi dan pertimbangan profesional guru.
7. Apakah pertimbangan profesional?
Pertimbangan profesional merupakan satu bentuk keputusan berkaitan pembelajaran murid yang dibuat oleh guru secara beretika menggunakan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman berdasarkan Standard Prestasi dan data perkembangan penguasaan murid dalam pembelajarannya.
8. Bagaimanakah PBD dilaporkan?
Tahap penguasaan murid dalam PBD dilaporkan menggunakan templat pelaporan dalam fail Excel yang digunakan secara luar talian. Laporan ini digunakan pada peringkat sekolah, serta dilaporkan kepada murid dan ibu bapa.
9. Bagaimanakah memastikan kualiti pentaksiran bilik darjah yang dilaksanakan?
Pihak pentadbir sekolah melakukan pemantauan, manakala guru-guru dalam panitia semua mata pelajaran melakukan perbincangan dan penyelarasan berkaitan kaedah dan instrumen pentaksiran yang digunakan. Guru dalam panitia yang sama juga melakukan moderasi (perbincangan) sesama mereka dalam melakukan pertimbangan profesional terhadap murid.
10. Siapakah jawatankuasa pemantauan kualiti PBD?
Jawatankuasa ini dibentuk oleh pihak sekolah, lazimnya dianggotai oleh:
- Pengetua/Guru Besar
- Penolong Kanan Pentadbiran
- Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
- Penolong Kanan KoKurikulum
- Penolong Kanan Petang
- Penolong Kanan Pendidikan Khas
- Guru Kanan Mata Pelajaran/Ketua Bidang
- Ketua Panitia
- Guru Cemerlang
- Jurulatih Utama
- Mana-mana guru yang dilantik oleh Pengetua/Guru Besar/JK PBS
11. Berapa kerap PBD perlu dilaporkan?
Sekurang-kurangnya 2 kali setahun.
12. Apakah saluran yang disediakan bagi mendapatkan maklumat berkaitan KSSM?
- Buku Panduan
- Portal http://bpk.moe.gov.my/
- JPN
- PPD
13. Adakah BPK menyediakan rekod transit?
Tidak. Perekodan boleh dilakukan dalam dokumen seperti rekod mengajar, buku catatan guru, senarai semak, templat pelaporan Excel atau lain- lain tempat merekod yang sesuai.
14. Adakah BPK menyediakan format pelaporan penguasaan murid dalam PBD?
Untuk tujuan pelaporan, templat pelaporan PBD dalam fail Excel yang disediakan dan dimuat naik ke portal BPK.
15. Adakah templat pelaporan PBD yang baharu ini untuk semua Tahun dan Tingkatan?
Templat pelaporan PBD yang baharu akan disediakan mengikut Tahun/ Tingkatan kurikulum KSSR (Semakan 2017) dan KSSM yang dilaksanakan. Ini bermakna pada tahun 2018, templat pelaporan yang baharu ialah untuk Tahun 1, Tahun 2, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2.
Manakala templat pelaporan PBD yang baharu untuk Tahun 3 KSSR (Semakan 2017) dan Tingkatan 3 KSSM akan dimula digunakan pada tahun 2019.
Templat pelaporan PBD yang baharu untuk Tahun 4 akan digunakan pada tahun 2020, Tahun 5 pada tahun 2021 dan Tahun 6 pada tahun 2022.
16. Mengapakah tiada surat siaran atau pekeliling untuk melaksanakan PBD?
PBD merupakan sebahagian daripada kurikulum. Kurikulum terdiri daripada kandungan, pedagogi dan pentaksiran. Pentaksiran ini dinyatakan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) setiap mata pelajaran. Pelaksanaan kurikulum dan pentaksiran berlaku secara serentak dan tidak memerlukan surat pekeliling yang berasingan. Surat pekeliling bagi melaksanakan KSSR (Semakan 2017) ialah SPI Bil. 8/2016 manakala surat pekeliling bagi melaksanakan KSSM ialah SPI Bil. 9/2016.
17. Apa perbezaan Tahap Penguasaan Umum dengan Tahap Penguasaan Keseluruhan?
Tahap Penguasaan Umum ialah tahap penguasaan yang digunakan oleh semua mata pelajaran bagi menjadi asas kepada pembangunan Standard Prestasi mata pelajaran tersebut. Tahap Penguasaan Keseluruhan ialah penentuan satu Tahap Penguasaan dalam mata pelajaran tersebut pada penghujung sesi persekolahan iaitu pada akhir tahun persekolahan.
Tags
Pendidikan
anak dapat banyak TP3 je
ردحذفKak Azian, bertabah kita nak support anak-anak ni. Kesian juga mereka terkejar-kejar nak menguasai Tahap Penguasaan tu.
حذف