SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1444H BERSAMAAN 2022M DI WTCKL

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1444H BERSAMAAN 2022M DI WTCKL | Sukacita dimaklumkan, bahawa pihak kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H bersamaan 2022M pada 12 Rabiulawal 1444H bersamaan 9 Oktober 2022M (Ahad) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula jam 9.30 pagi.

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1444H BERSAMAAN 2022M DI WTCKL

Sambutan Maulidur Rasul SAW adalah merupakan salah satu acara rasmi Kerajaan yang disambut setiap tahun sesuai dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan Malaysia. Sambutan bukan sekadar untuk memperingati hari ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, malah ia menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah SAW.

Mengambil kira negara Malaysia kini telah memasuki fasa endemik, maka Jawatankuasa Induk Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1444 H bersamaan 2022 M yang dipengerusikan oleh YB Senator Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah bersetuju dan membuat ketetapan agar majlis tersebut diteruskan semula sebagaimana tahun-tahun sebelumnya yang melibatkan perhimpunan secara fizikal. Walau bagaimanapun, acara perarakan, yang menjadi acara lazim sambutan pada setiap tahun, tidak diadakan pada tahun ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong telah berkenan untuk berangkat hadir ke majlis tersebut. YAB Perdana Menteri dan isteri turut sama akan hadir bagi memeriahkan acara sambutan.

𝗧𝗘𝗠𝗔 𝗦𝗔𝗠𝗕𝗨𝗧𝗔𝗡 𝗠𝗔𝗨𝗟𝗜𝗗𝗨𝗥 𝗥𝗔𝗦𝗨𝗟 1444H

Tema sambutan pada tahun ini ialah “𝑲𝒆𝒍𝒖𝒂𝒓𝒈𝒂 𝑴𝒂𝒍𝒂𝒚𝒔𝒊𝒂 𝑷𝒆𝒎𝒂𝒏𝒈𝒌𝒊𝒏 𝑲𝒆𝒎𝒂𝒌𝒎𝒖𝒓𝒂𝒏”. Tema ini sangat relevan dan bertepatan dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri dan pendekatan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera yang diperkenalkan oleh YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). 

Kedua-dua pendekatan tersebut menjadi simbol kebersamaan yang inklusif dalam menghadapi sebarang cabaran bagi mencapai kehidupan yang lebih harmoni dan sejahtera yang menjurus kepada pemeliharan kemaslahatan umah melalui lima prinsip utama iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

𝗣𝗘𝗡𝗚𝗨𝗥𝗡𝗜𝗔𝗔𝗡 𝗔𝗡𝗨𝗚𝗘𝗥𝗔𝗛 𝗦𝗘𝗠𝗣𝗘𝗡𝗔 𝗦𝗔𝗠𝗕𝗨𝗧𝗔𝗡 𝗠𝗔𝗨𝗟𝗜𝗗𝗨𝗥 𝗥𝗔𝗦𝗨𝗟 𝗗𝗔𝗡 𝗞𝗥𝗜𝗧𝗘𝗥𝗜𝗔 𝗣𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡𝗨𝗚𝗘𝗥𝗔𝗛𝗔𝗡 

Seperti kelaziman, sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan, akan diadakan upacara penyampaian Anugerah Perdana dan Anugerah Maulidur Rasul SAW kepada individu-individu yang layak. Majlis pada kali ini akan menobatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan 6 orang penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW. 


Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu-individu yang layak dan telah memberi sumbangan yang cukup bermakna dalam pembangunan ummah dan negara. Penerima Anugerah dipilih berdasarkan jasa dalam bidang kepakaran masing-masing yang telah disumbang untuk pembangunan Islam yang memberi impak positif ke atas kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara. 

Pemilihan penerima anugerah ini diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Maulidur Rasul SAW yang dipengerusikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). 

𝗞𝗘𝗟𝗔𝗜𝗡𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡𝗝𝗨𝗥𝗔𝗡 𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗞𝗔𝗟𝗜 𝗜𝗡𝗜

Penganjuran kali ini dapat menyaksikan inovasi atau suntikan elemen teknologi iaitu persembahan seni media pemetaan cahaya (mapping) pada latar pentas (astaka), yang akan memaparkan tayangan grafik yang berinteraksi dengan fasad latar pentas (astaka). Ini adalah merupakan antara tarikan dan kelainan yang bakal dibawa melalui acara sambutan pada kali ini.

Selain itu, mengambil semangat kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW, maka pada tahun ini juga, akan dibawakan persembahan khas yang mengangkat keperibadian Nabi Muhammad SAW sebagai tauladan dan pemangkin kemakmuran dalam menyatupadukan umat manusia berdasarkan peristiwa-peristiwa dari sirah kehidupan baginda.

Persembahan khas ini diadaptasikan dengan kepelbagaian penyampaian yang berunsurkan keislaman yang menggabungkan pelbagai peringkat usia, bangsa dan keturunan yang bersatu atas nama Islam.

Sebagai sebahagian dari program Sambutan Maulidur Rasul, sebuah Forum Perdana Ehwal Islam Khas turut diadakan pada 6 Oktober 2022, 10.00 hingga 11.00 malam di TV1 dengan tajuk “Kasih Tanpa Syarat” anjuran Kerajaan negeri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah dengan kerjasama JAKIM dan RTM. 

Isu yang bakal dibincangkan ialah bagaimana sifat Rasululullah SAW yang perlu dicontohi oleh Keluarga Malaysia dalam usaha memupuk nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam diri generasi pelapis negara. 

Selain itu, penonton juga boleh menyaksikan sambutan ini secara langsung melalui TV1 RTM dan Nasional fm selaku penyiar rasmi, serta lain-lain saluran stesen radio di bawah RTM seperti SALAMfm, Aifm, TRAXXfm, Minal fm, Asyik fm dan stesen radio RTM negeri. Siaran radio ini disampaikan dalam pelbagai Bahasa seperti Tamil, Mandarin, Inggeris dan dialek Orang Asli.

𝗗𝗔𝗧𝗨𝗞 𝗛𝗔𝗝𝗔𝗛 𝗛𝗔𝗞𝗜𝗠𝗔𝗛 𝗕𝗜𝗡𝗧𝗜 𝗠𝗢𝗛𝗗 𝗬𝗨𝗦𝗢𝗙𝗙
Ketua Pengarah Jakim
7 Oktober 2022

PERHATIAN: Pihak RUBY.MY tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca. Sila pastikan anda fikir terlebih dahulu sebelum meninggalkan komen yang berbaur negatif. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Setiap penulisan dan komen adalah termaktub dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. Akta ini merupakan undang-undang siber yang digubal di Malaysia pada 15 Oktober 1998, dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 23 September 1998. Ia mula berkuatkuasa pada 1 April 1999.

Seseorang yang melanggar atau melakukan kesalahan akan disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

أحدث أقدم

نموذج الاتصال