GALERI KERIS PAK DIN KOMANDO MENYINGKAP SALASILAH SENJATA NUSANTARA | Assalammualaikum semua. Jom sambung lagi cerita tentang lawatan yang Ruby join pada Disember 2022 lalu. Hari pertama kami di Selama, Perak sangat menarik. Selepas makan tengahari di Restoran Nasi Ayam Hainan Gulai Kawah, kami ke Galeri Keris Pak Din Komando yang terletak di Kampung Bangan Baru, Selama, Perak. Pak Din sudah bertukang selama lebih 35 tahun setelah menamatkan perkhidmatan sebagai Komando Tentera Darat.
Keris merupakan senjata yang digunakan sejak abad ke-9. Bermula dari Pulau Jawa, terus ia menyebar cara penggunaannya ke seluruh Nusantara. Ia telah terbukti wujud melalui ukiran gambaran keris yang terdapat di Candi Borobudur.
GALERI KERIS PAK DIN KOMANDO MENYINGKAP SALASILAH SENJATA NUSANTARA
Keris terbina dari tiga bahagian utama, pertama adalah mata atau bilah “wilah”, pangkal “hulu”, dan sarung “warangka”. Digunakan sebagai senjata untuk melindungi diri dan digunakan sebagai alat kebesaran diraja. Keris yang paling masyhur pada masyarakat Melayu adalah Keris Taming Sari yang merupakan senjata yang digunakan oleh Hang Tuah. Hang Tuah merupakan seorang pahlawan Melayu yang termasyhur.
Penjagaan Keris adalah perkara asas bagi melindungi dan menjaga kualiti senjata tersebut. Melalui tradisi Jawa untuk menjaga Keris iaitu amalan Melayu tradisional. Keris perlu dijaga dengan cara diperasapkan pada masa-masa tertentu, seperti malam Jumaat misalnya.
Ada juga amalan mengasamlimaukan keris sebagai cara untuk menjaga logam keris dan juga untuk menambah bisanya. Antara lain, terdapat kepercayaan bahawa keris mempunyai semangatnya yang tersendiri. Sebagai contoh, pemilik Keris itu sendiri adalah pengguna persendirian. Tidak boleh dikongsi atau beri kepada sesiapa sahaja.
Keris telah diiktiraf sebagai Karya Agung Warisan Budaya Kemanusiaan Dan Tidak Ketara yang berasal Indonesia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) sejak 2005 dan versi mutakhir pada 2008.
KAYU SURIAN BATU
Pak Din juga telah membuat kajian berkenaan kayu surian yang mengambil masa selama 5 tahun. Hasil kajian tersebut membolehkan Pak Din memperkenalkan kayu surian ini secara eksklusif.
Selain itu, Pak Din mempunyai lebih 100 koleksi keris yang dipamerkan di galerinya. Pembuatan keris dan sarung dihasilkan di bengkel yang diberi nama Bengkel Surian.
BILAH KERIS TIDAK BOLEH DISENTUH SEMBERONO
“Program Lawatan Produk Eko-Pelancongan (Homestay, Water Rafting, Climbing, Caving) di Selama - Gopeng, Perak Darul Ridzuan pada 6-9 Disember 2022 anjuran Unit Nature Adventure, Tourism Malaysia dengan kerjasama Unit Pelancongan Majlis Daerah Selama, Selama Rafting dan Gua Tempurung Extreme. Diharap dengan perkongsian ini dapat membantu anda untuk merancang percutian ke Selama & Gopeng, Perak.”