TELAGA GERGASI DAN SUNGAI ATAS SUNGAI PENINGGALAN TEKNOLOGI BRITISH | Assalammualaikum semua. Sepanjang berada di Selama, boleh dikatakan semua tempat Ruby yang kami semua pergi adalah lokasi yang luar biasa. Bagi pelancong seperti kami yang datang dari Kuala Lumpur, ia adalah sesuatu yang menakjubkan apabila Majlis Perbandaran boleh menjaga projek peninggalan sejarah dengan baik sekali.
Malah kawasan sekitarnya diselenggara. Berpagar dan selamat. Cuma harap penduduk tempatan bersedia untuk menjaga kebersihan agar tidak membuang sampah ke dalam sungai. Okay?
TELAGA GERGASI DAN SUNGAI ATAS SUNGAI PENINGGALAN TEKNOLOGI BRITISH
Telaga Gergasi ini terletak di Kampung Jalan Baru, Selama. Ia merupakan tinggalan teknologi British yang berfungsi untuk mengawal kadar pengaliran air dari Sungai Ijok ke Tasik Bukit Merah.
SUNGAI ATAS SUNGAI
Selama mempunyai peninggalan teknolog British dalam sistem pengairan yang melibatkan terusan sepanjang kira-kira 5 kilometer yang masih beroperasi sehingga kini.
Terusan air yang dilencongkan dari Sungai Ijok cukup unik kerana dibina pada paras ketinggian tertentu merentasi Sungai Redang Panjang yang mengalir di bawahnya. oleh kerana itu, ia dipanggil Sungai Atas Sungai.
Selain itu, sebuah jambatan yang telah dibina pada 1963 untuk merentasi terusan tersebut masih kekal kukuh dan digunakan sebagai laluan motosikal kepada penduduk tempatan.
Teknologi British yang dibina ini pada asalnya berfungsi untuk memindahkan hasil bijih timah melalui sungai.
TELAGA GERGASI
Telaga Gergasi terletak di Kampung Jalan Baru, Mukim Ijok, Selama, Perak. Struktur Ini merupakan tinggalan teknologi British yang pada asalnya berfungsi untuk aktiviti pengumpulan dan memindahkan hasil bijih timah melalui sungai terutama semasa pendudukan British pada 1936.
Struktur ini juga dianggarkan dibina pada tahun yang sama dengan Sungai Atas Sungai iaitu pada tahun 1938.
Ketinggian struktur Telaga Gergasi ini adalah kira-kira 100 kaki atau 30 Meter tinggi dengan diameter sepanjang 20 kaki atau 6 meter.
Teknologi dan ciri-ciri moden binaan tersebut secara tidak langsung dapat mengawal hakisan tanah serta pasir daripada termendap di Tasik Bukit Merah dan bagi tujuan pengairan sawah padi di kawasan ini pada suatu ketika dahulu.
Pengaliran air ke Tasik Bukit Merah ini sangat penting sehingga kini bagi pengairan kawasan sawah padi di Daerah Kerian.
Terusan air yang jatuh ke dalam Telaga Gergasi ini akan mengeluarkan bunyi deras air yang sangat kuat sehingga jka berkesempatan boleh menampakkan biasan pelangi.
LOKASI SUNGAI ATAS SUNGAI DAN TELAGA GERGASI BERHAMPIRAN
Jika anda ingin melawat kedua-dua tempat bersejarah peninggalan teknologi British ini, dinasihatkan anda datang bersama pemandu pelancong. Lokasi Sungai Atas Sungai dan Telaga Gergasi sangat berdekatan, namun perlu melalui jalan tanah yang berbatu-batu.
Kemudian, dalam Google Maps hanya ada tanda sahaja, laluan jalan tidak jelas. Mungkin pada masa akan datang jalan akan cantik berturap dan diselenggara sebaiknya. Agar mudah untuk pelancong datang.
Kami mengambil masa sekitar 45 minit untuk sampai ke Telaga Gergasi dari jalan masuk utama Kampung Jalan Baru. Melalui jalan ini, anda boleh melihat permandangan rumah kampung dan kebun kelapa sawit.
Manakala untuk Sungai Atas Sungai hanya 15 minit sudah sampai. Semoga Tourism Perak memberi perhatian bagi menaiktaraf atau mempromosikan keunikan produk pelancongan di Selama.
“Program Lawatan Produk Eko-Pelancongan (Homestay, Water Rafting, Climbing, Caving) di Selama - Gopeng, Perak Darul Ridzuan pada 6-9 Disember 2022 merupakan anjuran Unit Nature Adventure, Tourism Malaysia dengan kerjasama Unit Pelancongan Majlis Daerah Selama, Selama Rafting dan Gua Tempurung Extreme. Diharap dengan perkongsian ini dapat membantu anda untuk merancang percutian ke Selama & Gopeng, Perak.”