ANWAR: THE UNTOLD STORY PENGORBANAN UNTUK KELUARGA DAN RAKYAT MALAYSIA

ANWAR: THE UNTOLD STORY PENGORBANAN UNTUK KELUARGA DAN RAKYAT MALAYSIA  | Assalammualaikum semua! Pada 8 Mei 2023 yang lalu Ruby telah hadir ke Tayangan Perdana filem Anwar, The Untold Story. Ia merupakan filem mengenai Perdana Menteri Malaysia ke-10 (PMX) pada ketika YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim sedang menyandang jawatan sebagai Menteri Pendidikan, Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. 

Rakyat Malaysia sememangnya mengetahui kisah perjuangan PMX kerana ramai yang membesar dengan kisah beliau. Secara jujurnya, Ruby dan arwah Abah mengikuti kisah PMX. Sama ada ia benar atau fitnah, kami tetap terus menyokong Reformasi kerana semangat beliau ingin membantu rakyat dan negara. 

ANWAR: THE UNTOLD STORY PENGORBANAN UNTUK KELUARGA DAN RAKYAT MALAYSIA 


Politik yang mana tidak akan dikaitkan dengan isu peribadi? Ia ibarat bergelar selebriti, kita menjadi hak milik masyarakat. Kisah dari lahir telah ketahui umum, malah sehingga seluruh keturunan kita diadili. Itulah cabaran dan ujian apabila menyertai politik. Pengorbanan dari ibu bapa, anak-anak, suami isteri, sahabat dan kenalan. Semuanya memainkan peranan penting apabila kita mengejar kejayaan dalam politik. Pasti ada insan di kiri kanan depan dan belakang terus mengharapkan kejayaan setelah melalui pelbagai fasa jatuh bangun bersama.

Namun, apa yang menarik perhatian umum adalah bagaimana insan bernama isteri terus bersama suami walau pelbagai dugaan melanda. Perasaan risau, takut, sedih, kecewa, gembira, tegas dan kuat secara automatik akan membuatkan isteri bangkit demi mempertahankan suami, melindungi anak-anak dan meneruskan perjuangan untuk negara tercinta.

Lakonan Acha Septriasa sebagai YB Dato' Seri Dr.Wan Azizah Binti Wan Ismail adalah figura yang amat Ruby nantikan wataknya di dalam filem Anwar: The Untold Story. Bagaimana beliau seorang ibu menggalas tanggungjawab membesarkan 6 orang anak, menyertai politik dan menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri 2018-2020. Mungkin kisah Kak Wan kita boleh angkat sebagai filem tokoh seterusnya? 

Farid Kamil membawa watak sebagai YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim pada masa muda sememangnya sesuai dengan gaya dan cara beliau. Boleh dikatakan Anwar Ibrahim adalah menteri yang kacak pada zaman beliau dan disayangi ramai. Ada beberapa watak penting tidak diketengahkan semasa perjuangan beliau, namun kita perlu faham bahawa keseimbangan dalam sesebuah filem tokoh amat penting agar ia relevan.

Manakala watak Hasnol Rahmat sebagai Tun Dr Mahathir Mohamad juga memberi impak yang jelas dari cara percakapan, pakaian dan ekpresi wajah. Memang pelakon Gred A lah. Ruby bangga filem begini disediakan oleh produksi filem Indonesia. Jika produksi filem Malaysia yang menghasilkan filem tokoh begini pasti dianggap bias dan pro kepada sesuatu parti politik. 

Pada pendapat Ruby, Pengarah Viva Westi berjaya menggambarkan filem ini mengikut garis masa tahun tersebut. Latar masa, fesyen pakaian 90-an, jenis kenderaan, perabot pejabat, telefon lama, bahasa pertuturan dan komitmen para pelakon bagi menjayakan watak. Hasil filem lebih nostalgik dan menyentuh jiwa. Jika diberi lebih masa, mungkin filem ini sehebat filem tokoh Habibie & Ainun. Al-Fatihah buat Allahyarham B.J. Habibie dan Allahyarhamah Hasri Ainun Habibie. Semoga roh mereka dicucuri rahmat.

Filem Anwar: The Untold Story ini sangat best bagi Ruby. Ruby faham minat seseorang terhadap sesebuah naskah filem amat subjektif. Tetapi, kita harus belajar menghormati pendapat masing-masing. 

ANWAR: THE UNTOLD STORY 



Tajuk : ANWAR: THE UNTOLD STORY
Genre : Flem Biografi Tokoh
Pengarah : Viva Westi
Penerbit : Zulkiflee Anwar Haque @ Zunar
Syarikat Penerbitan : Yusrych Global Sdn Bhd | DMY Creation | Bianglala Entertainment 
Bahasa : Bahasa Melayu
Durasi Filem : 90 minit
Klasifikasi: Umum
Tarikh Tayangan di Pawagam : 18 Mei 2023
Barisan Pelakon:
Farid Kamil sebagai YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim
Hasnul Rahmat sebagai YAB Tun Mahathir Mohamad
Acha Septriasa sebagai YB Dato' Seri Dr. Wan Azizah
Saskia Chadwick sebagai Nurul Izzah Anwar
Dewi Irawan sebagai Che Wan (ibu Anwar)
Piet Pagau sebagai Ibrahim (bapa Anwar)
Gisellma Firmansyah sebagai Nurul Nuha Anwar
Felice Lovely Hidayat sebagai Nurul Iman Anwar
Azzahra Annasera sebagai Nurul Hana Anwar
Trailer:

SINOPSIS FILEM ANWAR: THE UNTOLD STORY


Filem ini mengisahkan jatuh bangun perjuangan YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam dunia politik terutama dalam membanteras rasuah. Filem yang diusahakan sejak Ogos 2011 ini telah siap dan sedia untuk ditayangkan. Set masanya ialah dari tahun 1993 sehingga September tahun 1998. Di adaptasi dari kisah sebenar, jalan ceritanya adalah mengenai Anwar Ibrahim yang tegas dan konsisten menolak berbagai jenis imbuhan dan wang tunai dari pihak-pihak tertentu.


Juga bagaimana dia enggan menggunakan wang rakyat untuk melindungi syarikat anak pemimpin tertentu yang kerugian berbilion ringgit. Ini kerana ketika itu, banyak syarikat di Malaysia yang terkesan dengan situasi Krisis Ekonomi Asia 1997. Demi melindungi Malaysia, tindakan tegas dan sama adil perlu dilaksanakan. 

Kerana itu dia difitnah dengan sebuah konspirasi besar, dipecat, dipukul secara brutal di dalam lokap gelap dan dibiarkan tanpa rawatan perubatan hingga beberapa hari. Dari seorang menteri kewangan terbaik yang berjaya membebaskan Malaysia dari belenggu hutang, akhirnya meringkuk di dalam penjara.


YAB PERDANA MENTERI HADIR KE TAYANGAN PERDANA


Kehadiran YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim dan isteri ke tayangan perdana Anwar: The Untold Story sememangnya dinantikan oleh rakyat Malaysia. Sama ada sebagai petugas media, tetamu VIP, pekerja di sekitar Pavilion KL dan orang awam. Ternyata semua amat mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri Malaysia.

Acara karpet merah diaraikan dengan sangat gilang gemilang. Ruang iklan di Pavilion Tower berhampiran water fountain terpapar poster filem Anwar: The Untold Story. 


Filem ini diarahkan oleh Viva Westi penulis lakon layar serta pengarah.  Beliau adalah penerima anugerah Pengarah Terbaik dalam Festival Filem Indonesia 2008 dan di antara hasil seni file. beliau adalah filem Rayya, Cahaya di Atas Cahaya dan Mursala.  


Menurut Viva Westi, filem Anwar: The Untold Story bukanlah 100% penceritaan semula peristiwa yang benar, tetapi dia gembira jika penonton dapat memperoleh beberapa kebenaran daripada filem itu.

Pengarahnya, Viva Westi berkata,  “Filem ini mula menjalani sesi penggambaran pada Ogos 2021 dengan kajian terperinci mengenai tokoh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tidak dinafikan rakyat Indonesia sendiri mengenali dengan beliau kerana memiliki hubungan baik dengan negara Indonesia. 

Kami cuba sedaya mungkin untuk mengetengahkan kisah benar kepada penonton dengan situasi dan keadaan ketika waktu reformasi. Syukur filem ini akhirnya siap dan menunggu masa tayangan,”

Filem Anwar: The Untold Story dibintangi oleh pelakon tempatan Malaysia Farid Kamil Zahari sebagai watak utama iaitu YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim. Filem ini dihasilkan di Indonesia dan pelakon terkenal Indonesia Acha Septriasa memegang watak sebagai YB Dato' Seri Dr.Wan Azizah Binti Wan Ismail. Selain Malaysia, filem ini turut dirakam di Indonesia dengan kos RM10 juta.


Bagi Zulkiflee Anwar Haq yang bertindak selaku Penerbit Eksekutif, dia menjadikan aktiviti perangi rasuah sebagai ramuan utama filem terbabit.

Setelah melakukan perbincangan dengan produksi, semuanya mengambil kata sepakat untuk menjadikan elemen tersebut sebagai plot penceritaan filem berkenaan.

“Kajian terhadap filem ini sudah diadakan sejak 2011 dan ketika itu saya fikir kita perlukan filem sebegini. Namun, disebabkan banyak halangan jadi kita tidak dapat melakukannya.

“Akhirnya setelah beberapa bersabar, filem ini sudah siap. Filem ini adalah satu-satunya filem yang tidak mengikuti naratif pemerintah ketika itu. Jadi agak sukar untuk mengambil pengarah tempatan dan disebabkan itu lebih mudah bekerja dengan pengarah dari Indonesia,” ujarnya.

YAB DATO' SERI ANWAR IBRAHIM AKAN TERUS PERANGI RASUAH 


PM berikrar untuk terus perangi rasuah selepas tayangan khas ‘Anwar, The Untold Story’. Perdana Menteri YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak dapat menahan rasa sebak selepas menonton filem biografi ‘Anwar, The Untold Story’ semasa acara tayangan media khas dan VIP di Dadi Cinema Pavillion KL 8 Mei 2023.

Perdana Menteri mengimbau kembali kenangan perjuangannya memerangi ketidakadilan dan rasuah menerusi filem satu jam 30 minit arahan pengarah Viva Westi Indonesia yang turut menghadiri acara tayangan khas tersebut.


Anwar yang turut mengadakan sidang akhbar dengan media tempatan dan antarabangsa selepas menonton filem itu berkata beliau amat terharu kerana dapat mengimbau kembali episod penting dalam hidupnya serta memuji kebolehan pelakon serta pengarah kerana berjaya membawa wataknya.

“Ini cerita yang mesti diceritakan, perjuangan menentang rasuah perlu diteruskan. Sekarang saya menjadi perdana menteri, saya mahu menyelamatkan negara ini dan memerangi rasuah dan perangi mereka bersungguh-sungguh," katanya dengan disambut tepukan gemuruh.

Filem tersebut, berlatarbelakangkan tahun 1993 hingga 1998 mendedahkan kisah Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia sambil menonjolkan perjuangannya yang secara konsisten menentang amalan rasuah tetapi berakhir di penjara.



Filem Anwar: The Untold Story terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan DMY Creation selaku pengedar rasmi. DMY Creation adalah sebuah syarikat yang mengedar filem antarabangsa dan tempatan serta penganjur rancangan hiburan langsung utama.

Pengasas dan pengerusi DMY Creation Datuk Mohamed Yusoff menggalakkan orang ramai untuk menonton filem tersebut bagi merasai perjuangan yang dilalui perdana menteri dan menyaksikan sekilas perjalanannya yang merupakan salah satu perubahan politik paling luar biasa dalam sejarah Asia Tenggara moden.

"Kami berharap semua terutama golongan belia menyokong dan menonton filem ini untuk mengetahui perjuangan sebenar perdana menteri kita. Filem ini menunjukkan kepentingan membasmi rasuah di negara ini," katanya.

Anwar menonton filem itu bersama beberapa ahli keluarga terdekat termasuk mereka dari industri hiburan, tokoh politik dan selebriti. Seramai 1,870 tetamu termasuk 500 media tempatan dan antarabangsa menonton filem tersebut di 13 dewan khusus.

Antara yang menghadiri majlis tersebut adalah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, penyanyi Malaysia Datuk Seri Siti Nurhaliza, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, pemuzik, pelakon dan artis Datuk M Nasir, pelakon dan penerbit veteran Fauziah Ahmad Daud, pengasas dan pengerusi DMY Creation Datuk Mohamed Yusoff, penulis lirik dan penulis skrip prolifik Habsah Hassan, penerbit filem tempatan Datuk Yusof Haslam dan pembuat filem popular Datuk David Teo.


Turut hadir pada majlis itu ialah pengerusi eksekutif Kuala Lumpur Pavilion Sdn Bhd Puan Sri Cindy Lim, Pengarah Urusan Yusrych Global Yusry Makmor.

MENJAGA CINTAMU NYANYIAN DATUK SERI SITI NURHALIZA


Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin bekerjasama dengan komposer terkenal Indonesia, Andi Rianto. Ia merupakan impian beliau dan tercapai menerusi lagu "Menjaga Cintamu" yang merupakan lagu Official Sound Track (OST) bagi filem "Anwar: The Untold Story".

Filem "Anwar: The Untold Story" adalah sentuhan pengarah dari Indonesia, Viva Westi dan terbitan Bianglala Entertainment sementara lagu berjudul Menjaga Cintamu ciptaan Andi Rianto dan lirik oleh Sekar Ayu Asmara.


Menurut Siti, dia sudah lama mahu bekerjasama dan menyanyikan lagu ciptaan komposer hebat dari seberang itu.

“Saya sudah lama menyimpan hasrat untuk bekerjasama dan menyanyikan lagu ciptaan Andi dan peluang yang diberikan ini sangat bermakna.

“Saya berterima kasih kepada Penerbit Eksekutif, Zukiflee Anwar Haque atau Zunar dan pengarah dari Indonesia, Viva Westi kerana memberikan kepercayaan kepada saya menyanyikan lagu "Menjaga Cintamu".

“Saya adalah penyanyi dan tugasan saya adalah menyanyi. Pada masa sama, saya juga mempunyai ramai peminat di Indonesia.

“Saya jarang menolak untuk menyampaikan lagu-lagu OST sebelum ini. Apabila pihak penerbit filem ini datang bertemu dengan pengurusan saya, mereka menawarkan saya untuk menyanyikan lagu ini.

“Saya juga mendapat penerangan mengenai filem "Anwar, The Untold Story". Proses perbincangan juga berjalan dengan lancar,” katanya.

Mengenai lagu "Menjaga Cintamu", kata Siti, walaupun dia menyanyikan lagu OST filem "Anwar" tetapi lagu itu menggambarkan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan secara amnya untuk wanita yang setia dalam mencintai pasangan mereka.

“Saya terima tawaran untuk menyanyikan lagu 'Menjaga Cintamu' kerana yakin dengan kekuatan lagu ini serta tertarik dengan mesej kesetiaan wanita itu.

“Saya juga memahami lagu dan lirik 'Menjaga Cintamu' ini menceritakan mengenai kesetiaan dan pengorbanan seorang wanita.

"Kebetulan juga saya memang dalam fasa menerbitkan album terbaharu,” katanya.

Berkongsi pengalaman di studio, kata Siti, proses rakaman lagu "Menjaga Cintamu" berlangsung selama sejam dan Andi sendiri yang menjaga vokal dan menerbitkannya.

“Ia satu pengalaman baharu dan saya akui gementar kerana pertama kali bekerja dengan Andi dan menyampaikan lagu ciptaan komposer hebat sepertinya.

“Saya juga berdepan dengan cabaran untuk menyampaikan lagu 'Menjaga Cintamu' di studio kerana suara saya masih dalam proses pemulihan akibat kesan jangka panjang virus COVID-19.

“Saya sudah berusaha sebaiknya untuk menyampaikan lagu itu dengan baik. Proses rakaman dibuat di Malaysia iaitu di Cranky Music, milik komposer Aubrey Suwito,” katanya lagi.

Ditanya perbezaan bekerjasama dengan komposer Indonesia seperti Andi, kata Siti, setiap kali masuk studio, ia adalah pengalaman dan guru berharga baginya.

“Saya bersyukur kerana sering menyanyikan lagu-lagu dari komposer Indonesia dan sedikit sebanyak, saya sudah memahami cara mereka bekerja.

"Apabila menyampaikan lagu, mereka memberi tunjuk ajar dan pastinya mahu yang terbaik daripada penyanyi, begitu juga dengan Andi.

“Saya juga merakamkan lagu ini selama sejam dan Andi juga terkejut kerana biasanya proses rakaman membabitkan selama dua jam atau lebih.

"Namun, lagu Menjaga Cintamu memang senang masuk ke dalam hati dan dapat saya nyanyikan dalam tempoh tidak begitu lama,” katanya. - Sumber Media Hiburan 

Tayangan umum filem ‘Anwar: The Untold Story’ akan ditayangkan di semua pawagam utama di seluruh negara mulai 18 Mei 2023. 

Seronok menonton filem biografi dan tokoh Malaysia kan? Harap lepas ni ada sambungan, lepas tu ada filem YAB Tun Mahathir Mohamad dan isteri, kisah perjalanan karier seni Dato' Sri Siti Nurhaliza dan lain-lain kisah inspirasi dari negara tercinta kita Malaysia. Suka gaya yang dipersembahkan oleh produksi filem Indonesia. Best kan?

#AnwarTheUntoldStorybyDMY

PERHATIAN: Pihak RUBY.MY tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca. Sila pastikan anda fikir terlebih dahulu sebelum meninggalkan komen yang berbaur negatif. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Setiap penulisan dan komen adalah termaktub dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. Akta ini merupakan undang-undang siber yang digubal di Malaysia pada 15 Oktober 1998, dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 23 September 1998. Ia mula berkuatkuasa pada 1 April 1999.

Seseorang yang melanggar atau melakukan kesalahan akan disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

أحدث أقدم

نموذج الاتصال