MALAYSIA TUAN RUMAH I-SING WORLD FINALS 2023 | Assalammualaikum semua. Pertandingan nyanyian i-Sing World Finals kini telah memasuki tahun ke empat dan Kuala Lumpur, Malaysia telah dipilih sebagai tuan rumah. Pastinya para peserta teruja untuk ke Kuala Lumpur, Malaysia kerana negara ini mempunyai pelbagai budaya dan makanan enak. Selain fokus kepada pertandingan, para peserta dapat meneroka keindahan kota Kuala Lumpur yang programnya telah disediakan oleh pihak penganjur.
MALAYSIA TUAN RUMAH I-SING WORLD FINALS 2023
i-SiNG World merupakan satu program kejohanan vokal yang amat popular mencungkil bakat nyanyian dari seluruh dunia. Ditubuhkan pada tahun 2017, i-SiNG kini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Sebanyak 20 negara menyertai pertandingan ini dan sedang melalui fasa uji bakat untuk melayakkan 5 wakil dari setiap kategori.
Pertandingan nyanyian i-SiNG World Finals mempunyai 3 kategori iaitu Dewasa, Kanak-Kanak dan Berkumpulan. Fasa uji bakat sedang berlangsung di negara masing-masing, seterusnya fasa separuh akhir mereka akan bertanding di Kuala Lumpur, Malaysia untuk melayakkan mereka bertanding di i-Sing World Finals 2023 pada 26 November 2023 di Royale Chulan Damansara.
Pasti ramai tertanya apakah signifikasi i-SiNG kan? “i” dalam huruf tersebut merupakan diri peserta dan juga melambangkan kedudukan antarabangsa. “Sing” pula adalah minat dan kecenderungan seseorang dalam bidang nyanyian.
Maka, “i-SiNG” memberi peluang kepada seseorang itu untuk menonjolkan bakat nyanyian ke peringkat antarabangsa. Sudah pasti para peserta akan berasa bangga dengan pencapaian dari pertandingan ini yang mengangkat nama merela melalui bakat nyanyian.
Pada tahun 2017, i-SiNG telah mendapat penyertaan dari 24 negara dari seluruh dunia. Pertandingan i-SiNG World Finals 2017 pertama kali diadakan pada 29 September 2017 hingga 1 Oktober 2017 di Yangon, Myanmar. Wakil penyanyi dari Malaysia iaitu Nabila Mohamad, merupakan i-SiNG Malaysia Champion 2017 (Female Champion) dan i-SiNG World Myanmar 2018 (Top 7).
Tahun kedua, iaitu pada tahun 2018, i-SiNG World Final telah berlangsung di Paris, France. Peserta lelaki Malaysia, Shafiq Ikhwan, telah bergelar JUARA i-SiNG World 2018 yang mengalahkan peserta dari hampir 40 negara.
Pada tahun 2019, i-SiNG World telah berlangsung di Stockholm, Sweden, dengan penyertaan 47 negara. Malaysia menghantar 2 peserta, iaitu, Mohamad Husaini Mahmur dan Nadia Naswan Hasnan. Mohamad Husaini telah mendapat tempat ke-2 dalam kejohanan tersebut dan diikuti pula dengan Nadia ditempat ke-tiga.
Pasukan Malaysia dikelolakan dan dianjurkan oleh MyISing Malaysia. Pada tahun 2020, Rythymis Mines telah mendapat hak untuk menganjurkan kejohanan i-SiNG World yang ke-4 di Kuala Lumpur. Perjanjian telah dimeterai pada bulan Mac 2020 tetapi tidak lama kemudian, Malaysia telah menutup sempadan akibat pandemik Covid 19 yang melanda dunia.
Justeru itu, kejohanan i-SiNG yang ke-4 telah ditunda sehingga dunia membuka sempadan semula. Kini i-SiNG meneruskan semula kejohanan dunia ini dan Kuala Lumpur, Malaysia telah diberi penghormatan meneruskan sebagai tuan rumah.
Pihak penganjur telah menetapkan tarikh i-SiNG World Finals pada 22 November 2023 hingga 26 November, 2023, di Royale Chulan Damansara.
Dalam ucapan Encik Yuro T, Pengasas dan Pengerusi i-SiNG World Pte. Ltd. menyatakan yang sehingga hari ini sudah lebih 20 negara mengesahkan kehadiran mereka ke i-SiNG World Finals di Kuala Lumpur.
Kesemua peserta dari pelbagai negara amat teruja untuk menyertai kejohanan dan kembali membuat persembahan di pentas antarabangsa. Selain bertanding, para peserta akan disaji dengan pelbagai lawatan dan aktiviti di bawah tajaan pihak penganjur. Diantaranya mencuba makanan autentik Malaysia dan melancong di sekitar Lembah Kelang. Diharapkan kejohanan i-SiNG World Finals ini dapat mempromosi dan memikat lebih ramai pelancong ke Malaysia.
i-SiNG World mengumpulkan penyanyi terbaik dunia di satu tempat tahun demi tahun. Ini dapat menawarkan mereka peluang untuk menunjukkan bakat vokal dan kehebatan mereka dengan bersaing untuk gelaran i-SiNG World.
JURI I-SING WORLD FINALS
i-SiNG World Finals yang akan diadakan lagi beberapa minggu, Dato Mokhzan Pianis DM dan Wan Aishah Wan Ariffin telah dilantik sebagai juri bagi i-SiNG World Finals yang bakal berlangsung di Royale Chulan Damansara. Kedua-dua juri ini terkenal dalam kepakaran masing-masing dan telah berkecimpung dalam industri muzik selama beberapa dekad.
Dato Mokhzan Pianis DM dan Wan Aishah Wan Ariffin akan berada semeja bersama juri antarabangsa lain iaitu Arnel Campaner Pineda, Penyanyi kumpulan Journey dari Filipina dan kumpulan Beyond dari Hong Kong.
Tags
Hiburan