SHERIFF: NARKO INTEGRITI BUKAN SEKADAR POLIS TANGKAP POLIS

SHERIFF: NARKO INTEGRITI BUKAN SEKADAR POLIS TANGKAP POLIS | Assalammualaikum semua! Pembuka tirai tahun 2024 ini, filem pertama Ruby tonton di pawagam adalah SHERIFF: NARKO INTEGRITI. Filem yang Ruby tunggu sebab kami suami isteri peminat Pengarah Syafiq Yusof. Aneh kan? Biasanya ramai mengikuti selebriti. Tapi kami lebih selesa ikut karya pengarah. Mungkin dah terbiasa, kalau filem aksi, mesti tunggu filem Syafiq Yusof. 

Trailer SHERIFF: NARKO INTEGRITI pun dah ada plot twist. Ingatkan filem fiksyen dalam PDRM ada Sheriff macam New York City Sheriff tu. Sheriff yang hantar waran, perintah mahkamah dan mengiringi orang yang berada dalam tahanan sivil ke mahkamah. Ternyata sangkaan ku salah belaka!

Rupa-rupanya, DSP SHERIFF tu nama penuhnya Sheriffuddin Hussein. Tak pernah ya kena game dengan pengarah Syafiq Yusof macam ni. Lepas tu, DSP Sheriff ni bukan sahaja kena siasat kes dalaman. Malah perlu terlibat dalam tugasan lapangan. Sampai migrain lah DSP Sheriff ni fikir. Nak cari Meth Killer, lokasi gudang Tony Ifrit dan Tikus dalam pasukan Narkotik. Memang bukan sekadar tangkap Polis!

Filem aksi yang confirm menggegarkan pawagam seluruh negara tahun ini, SHERIFF: NARKO INTEGRITI! Filem ini merupakan filem arahan Syafiq Yusof dan menampilkan barisan pelakon Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Dato' Aaron Aziz, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan, Amir Nafis, Kodi Rasheed, Esma Daniel, Hazama, Sharuddin Tamby dan ramai lagi. Sheriff mula temui penonton di pawagam pada 18 April. 

SHERIFF: NARKO INTEGRITI BUKAN SEKADAR POLIS TANGKAP POLIS


Pada pendapat Ruby, jalan cerita SHERIFF: NARKO INTEGRITI bersesuaian dengan situasi semasa iaitu rasuah dan bersubahat dengan penjenayah kelas atasan. Tahniah Syafiq Yusof. Kami bagi 10/10 bintang untuk filem SHERIFF: NARKO INTEGRITI! Yayyy! 🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟



Tajuk Filem: SHERIFF: NARKO INTEGRITI
Genre: Aksi 
Terbitan: Astro Shaw Sdn Bhd & SKOP Productions Sdn Bhd 
Penerbit Eksekutif: Raja Jastina Raja Arshad 
Penerbit Eksekutif Bersama: Datuk Yusof Haslam 
Pengarah: Syafiq Yusof 
Bahasa: Bahasa Malaysia 
Durasi Filem: 132 Mins (2 jam 12 minit)
Klasifikasi: 16 Tahun ke atas (LPF)
Tarikh Tayangan di Pawagam: 18 April 2024


BARISAN PELAKON SHERIFF: NARKO INTEGRITI


Zul Arifin sebagai Deputi Superintenden Polis (DSP) Sheriffuddin Hussein @ DSP SHERIFF
Syafiq Kyle sebagai Inspektor (INSP) Nazri
Azira Shafinaz sebagai Asistan Superintenden Polis (ASP) Syazlin
Elizabeth Tan sebagai Asistan Superintenden Polis (ASP) Jennifer Wong
Dato’ Aaron Aziz sebagai Tony Ifrit, Pengedar Dadah Methamphetamine
Shaharuddin Thamby sebagai Deputi Superintenden Polis (DSP) Malik
Kamal Affendi sebagai Deputi Superintenden Polis (DSP) Afsham
Natasha Mahyan sebagai Inspektor Wani
Zen Ng sebagai Detektif Hong
Meynillen sebagai Detektif Naga
Amir Nafis sebagai Inspektor (INSP) Farouk
Kodi Rasheed sebagai Firdaus
Esma Danial sebagai Superitenden Roslan
Hazama sebagai Inspektor Amirul Asyraff
Azri Iskandar sebagai Husin

TRAILER SHERIFF: NARKO INTEGRITI





SINOPSIS SHERIFF: NARKO INTEGRITI 


Nazri, seorang anggota polis dari Jabatan Narkotik merasakan masalah sindiket dadah syabu Tony Ifrit semakin berleluasa dan mereka sering terlepas dari cengkaman undang - undang apabila melalui proses penghakiman. Nazri mengambil keputusan untuk menyelesaikan masalah itu sendiri. Sementara itu Sheriff, seorang anggota polis daripada Jabatan Integriti telah dihantar oleh pihak IGP untuk menyelesaikan kes ‘Meth Killer’. Sheriff dan Nazri ditugaskan untuk berada di bawah satu jabatan. Ada kemungkinan Meth Killer itu berada didalam Jabatan Narkotik itu sendiri. 

PENGARAH SYAFIQ YUSOF BERI KEPUASAN AKSI PADAT DALAM SHERIFF


Jika anda dahagakan filem aksi yang padu dan puas untuk 2 jam 12 minit, SHERIFF adalah filem yang sangat sesuai. Filem Syafiq Yusof kali ini kemas dengan babak pembunuhan, watak yang psycho, plot twist yang buat kita tetanya-tanya dan dialog yang bersesuaian. Serius filem ini tidak meleret-leret. Satu persatu babak buat kita tak berkedip mata! 

Suntingan sinematografi tidak usah dipertikaikan, rasa nak melompat apabila watak DSP Sheriff menunggang motosikal dan landing pakai lutuy dan boleh terus mengejar penjenayah! Babak kombat Zul Ariffin dan Dato' Aaron Aziz pun cun! 

Seni mempertahankan diri mereka memang sesuai dengan tubuh badan yang sasa. Ketinggian pun lebih kurang. Rasa nak tutup mata, tapi best pula tengok lawan-lawan ni. Sebagai anggota Polis, wajib mahir seni mempertahankan diri. Ini yang ingin digambarkan oleh pengarah agar kita tahu Anggota PDRM kita tak kosong. Berani dan Tangkas!

RINDU LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN DATO' AARON AZIZ


Dua figura industri drama dan filem di Malaysia yang sentiasa dinantikan kemunculannya. Sama ada di kaca televisyen atau layar pawagam, Zul Ariffin dan Dato' Aaron Aziz sentiasa memiliki tempat di hati para peminat. 

Watak mereka di dalam SHERIFF: NARKO INTEGRITI sangat istimewa dan berada di tempat tertinggi dalam pasukan masing-masing. Bukan mudah untuk bertembung atau tertangkap. Tetapi apabila sekali bertemu, ibarat buku dan ruas. Sama-sama tangkas, berani dan ada deria keenam yang hebat. Gandingan yang mantap!


LAKONAN AZIRA SYAFINAZ SEMAKIN MATANG


Mesti ramai menantikan watak Azira Syafinaz lakonkan. Nampak watak yang tenang kan? Tetapi lenggok badan dan ekspresi wajah untuk watak ini ternyata buat kita wow dengan lakonan Azira Syafinaz. Pelakon cantik ini berani mencuba watak yang mencabar. Paling Ruby rasa marah semasa babak undercover bertemu Tony Ifrit. Seram kalau pelakon kesayangan kita akan di bunuh. Nasib baik cepat PDRM sampai. Suspen betul!


SYAFIQ KYLE MENDUNIA!


Amboi Syafiq Kyle, lain betul watak kali ini. Terkejut ya tengok setiap babak sebagai Meth Killer tu! Kerja kemas betul! Watak dua identiti dalam satu masa ni mencabar! Sebiji macam pembunuh bersiri! Lepas tu kehidupan dihantui dengan jelmaan orang yang telah dia bunuh tu memang nyata seperti wujud gangguan mental. 

Babak ini menggambarkan setiap pembunuhan yang dilakukan pasti ada kesannya. Derita dalam senyap! Sebab itu tidak mustahil setiap kali kes pembunuhan apabila disabit kesalahan di mahkamah ada yang disahkan sakit mental. Ingat terlepas dari hukuman? Sesiapa yang mengaku sakit mental, mereka tidak akan terlepas dengan hukuman. 


Prosedur berkenaan pesakit mental dalam Mahkamah anda boleh dirujuk dalam Seksyen 342 hingga 344 Kanun Tatacara Mahkamah 2012. Wah sampai ke sini Ruby ulas. Makin seronok filem Skop Productions dan Astro Shaw. 

APA KATA PENERBIT?


Menurut Pengarah, Cerita Asal dan Lakon Layar filem Sheriff, Syafiq Yusof berkata, “Sheriff membawakan sebuah perspektif yang belum pernah dibawa oleh filem-filem kepolisian terbitan Skop Productions sebelum ini. Idea filem Sheriff ini tercetus daripada gabungan Datuk Yusof Haslam dan saya sendiri berdasarkan filem-filem kepolisian yang pernah kami hasilkan sepert KL Special Force dan juga Polis Evo 3. Namun untuk karya Sheriff, saya tambahkan sentuhan istimewa untuk penggemar-penggemar genre filem psikologi.”


Pengerusi Skop Productions merangkap Penerbit Eksekutif Bersama Sheriff, Datuk Yusof Haslam, “Filem ini menjadi lebih menarik apabila pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) Bukit Aman turut bekerjasama dan memberi nasihat dalam proses pembikinan filem. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM Bukit Aman dan rakan penerbit, Astro Shaw kerana sentiasa memberikan kerjasama yang sangat memberangsangkan sepanjang menghasilkan karya ini. Kami berharap agar penonton-penonton di Malaysia dapat menikmati filem ini dan reaksi positif mereka adalah tanda sokongan kepada filem tempatan, di samping membawa kejayaan kepada genre yang baru dan segar.”

Sementara itu, Penerbit Eksekutif dan juga Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan, Astro Shaw amat teruja untuk mempersembahkan sebuah lagi filem arahan Syafiq Yusof dan optimis ia bakal mencatatkan satu lagi sejarah dalam industri perfileman negara. “Sheriff merupakan filem ke-enam hasil daripada kerjasama bersama Skop Productions selepas Polis Evo 3, Abang Long Fadil 2 dan 3, KL Special Force dan Misteri Dilaila. Meskipun industri filem tempatan diwarnai dengan pelbagai naskhah yang membabitkan badan beruniform. Namun, kehadiran Sheriff tentunya berbeza dengan filem-filem yang sedia ada kerana ia dipersembahkan melalui plot, babak dan dialog yang penuh kejutan. Memandangkan filem ini akan ditayangkan ketika minggu perayaan Aidilfitri, jadi kami merasakan ia adalah waktu yang tepat untuk ditonton bersama keluarga, rakan-rakan dan insan tersayang. Tentunya kami mengharapkan Sheriff dapat diterima semua penonton, sekali gus mampu mencipta satu lagi fenomena.”  

Lepas ni DSP Sheriff nak tangkap polis bahagian mana pula? Ada sambungan lagi? We want more! 

TEMUI PELAKON SHERIFF


Temui barisan pelakon Sheriff di pawagam-pawagam terpilih sekitar Lembah Klang pada 20, 21, 27 dan 28 April. Ikuti perkembangan dan maklumat lanjut di akaun media sosial Astro Shaw atau Skop Productions, Facebook, TikTok, Instagram dan X. 

Gunakan tanda pagar #Sheriff #NarkoIntegriti #TakSemuaBolehSettle untuk kongsikan keterujaan dan pengalaman anda menonton Sheriff. 

Pembelian tiket filem Sheriff sudah boleh dibeli sejak 4 April dan peminat berpeluang untuk menonton sehari awal iaitu 17 April di pawagam. 

2 Ulasan

PERHATIAN: Pihak RUBY.MY tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca. Sila pastikan anda fikir terlebih dahulu sebelum meninggalkan komen yang berbaur negatif. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Setiap penulisan dan komen adalah termaktub dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. Akta ini merupakan undang-undang siber yang digubal di Malaysia pada 15 Oktober 1998, dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 23 September 1998. Ia mula berkuatkuasa pada 1 April 1999.

Seseorang yang melanggar atau melakukan kesalahan akan disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

  1. tengok trailer dan kesan bunyi memang sangat menarik tapi buat masa ni belum berkesempatan nak tengok jadi belum dapat nak kongsi cerita.

    BalasPadam
  2. dengar cerita ada character penting mati. betul ke? saya suka betul dengan filem or series yg berani matikan watak penting

    BalasPadam
Terbaru Lebih lama

نموذج الاتصال