TERIMA KASIH PAK LAH, PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-5 "BAPA PEMBANGUNAN MODAL INSAN NEGARA"

Assalammualaikum semua! Sebagai rakyat Malaysia yang melihat setiap transisi kempimpinan Perdana Menteri dan bagaimana mereka mengemudi negara tercinta. Kami turut terkejut dan berdukacita dengan perkhabaran YABhg Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Kelima Malaysia, Meninggal Dunia di Institut Jantung Negara (IJN). 

TERIMA KASIH PAK LAH, PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-5 "BAPA PEMBANGUNAN MODAL INSAN NEGARA"


IJN mengumumkan pemergian YABhg Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 7.10 malam 14 April 2025 di IJN Kuala Lumpur. Almarhum dimasukkan ke IJN pada pagi 13 April 2025 selepas mengalami sesak nafas. Beliau segera ditempatkan di bawah rawatan rapi Unit Rawatan Koronari (CCU), dimana beliau dipantau rapi oleh pasukan pakar jantung IJN yang berdedikasi. Usaha perubatan telah dilaksanakan, beliau meninggal dunia dengan tenang, dikelilingi oleh orang yang tersayang. 

"Seluruh keluarga IJN turut bersedih meratapi kehilangan Tun Abdullah. Menjaganya dalam waktu terakhir adalah satu keistimewaan dan penghormatan. Sifat baik hati dan rendah diri sentiasa menyentuh hati kakitangan IJN, dan kami mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum. Semoga roh dicucuri rahmat, Al-Fatehah." kata Prof. Dato' Sri Dr. Mohamed Ezani Md Taib, Ketua Pegawai Eksekutif

"Tun Abdullah membawa dirinya dengan kekuatan yang tenang dan bermaruah. Walaupun di saat-saat terakhirnya, beliau tetap tenang. Sungguh suatu penghormatan bagi pasukan kami berada di sisinya," kata Dato' Dr. Azmee Ghazi, Pakar Perunding Kardiologi dan Ketua Jabatan Kardiologi beliau.

TERIMA KASIH PAK LAH, PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-5 "BAPA PEMBANGUNAN MODAL INSAN NEGARA"


TERIMA KASIH PAK LAH, PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-5 "BAPA PEMBANGUNAN MODAL INSAN NEGARA"

TERIMA KASIH PAK LAH, PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-5 "BAPA PEMBANGUNAN MODAL INSAN NEGARA"

TERIMA KASIH PAK LAH, PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-5 "BAPA PEMBANGUNAN MODAL INSAN NEGARA"

Almarhum Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang mesra dikenali sebagai “Pak Lah”, merupakan Perdana Menteri Malaysia kelima dari 2003 hingga 2009. Beliau kembali ke rahmatullah pada 14 April 2025 pada usia 85 tahun akibat penyakit jantung di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. Pemergian beliau meninggalkan kesan mendalam kepada negara, khususnya dalam aspek pembangunan modal insan dan pendekatan Islam Hadhari yang beliau perkenalkan.

KEHIDUPAN AWAL DAN PENDIDIKAN 

Dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang, Almarhum Tun Abdullah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pematang Bertam dan meneruskan pengajian di Bukit Mertajam High School serta Penang Methodist Boys’ School. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam pada tahun 1964.

KERJAYA AWAL DAN POLITIK

Almarhum Tun Abdullah memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada tahun 1964 dan berkhidmat selama 14 tahun sebelum menceburi bidang politik. Beliau pernah berkhidmat di Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) selepas rusuhan 13 Mei 1969 dan memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. 

Seterusnya, dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, sebelum menjadi Timbalan Ketua Setiausaha di kementerian sama pada 1974. Mula menyertai UMNO pada 1964. Beliau mula bergerak aktif dalam arena politik selepas menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas pada 1978 dan meletak jawatan dalam perkhidmatan awam untuk menjadi ahli politik sepenuh masa.

Pada 1978, beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan dan dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Menteri pada 1980. Beliau kemudian mula memegang jawatan sebagai Menteri, iaitu di Jabatan Perdana Menteri (1981-1984); Kementerian Pendidikan (1984-1986); Kementerian Pertahanan (1986-1987) dan Kementerian Luar (1991-1999).

Almarhum dipilih memegang jawatan Naib Presiden UMNO pada 1984, 1987, 1990 dan dipilih semula untuk jawatan itu pada 1996. Pada 1999, beliau terus diberi kepercayaan apabila Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, melantik beliau menjadi timbalannya dan Timbalan Presiden UMNO.

Ketika itu, Almarhum Tun Abdullah juga merupakan Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). Tun Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima pada 31 Oktober 2003 dan menerajui pentadbiran negara selama enam tahun.

TERIMA KASIH PAK LAH, PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-5 "BAPA PEMBANGUNAN MODAL INSAN NEGARA"

Pada Perhimpunan Agung UMNO, Mac 2009, beliau membuat keputusan untuk tidak mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden parti, dan seterusnya menarik diri daripada menjadi Perdana Menteri. Almarhum kemudiannya digantikan dengan Timbalannya ketika itu, Datuk Seri Najib Razak yang menjadi Perdana Menteri pada 2 April 2009.

Selepas tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri, Almarhum Tun Abdullah sudah tidak membabitkan diri dalam bidang politik. Pada 11 September 2022, menantu beliau yang juga Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin, buat kali pertama mendedahkan bahawa Tun Abdullah menghidap demensia.

SUMBANGAN SEBAGAI PERDANA MENTERI KE LIMA MALAYSIA 

Sebagai Perdana Menteri, Almarhum Tun Abdullah memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dan integriti:

Pelan Integriti Nasional (PIN): Dilancarkan pada 2004 untuk membentuk masyarakat beretika dan berintegriti tinggi. 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM): Ditubuhkan untuk memperkukuh usaha membanteras rasuah di sektor awam dan swasta.

PEMUDAH: Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan ditubuhkan untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Koridor Ekonomi: Memperkenalkan lima koridor pembangunan ekonomi termasuk Iskandar Malaysia dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur untuk merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

Industri Halal: Memperkenalkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) pada 2004 dan menubuhkan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) pada 2006, menjadikan Malaysia peneraju industri halal global.

TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI: PEMIMPIN BERJIWA ULAMA, MEWARISI CAHAYA ILMU

Konsep Islam Hadhari diperkenalkan sebagai pendekatan pembangunan berteraskan prinsip Islam yang progresif, menekankan aspek ilmu, ekonomi, dan etika. Ia bertujuan membina masyarakat Islam yang maju dan seimbang dalam semua aspek kehidupan.


“Saya bukan ulama, tetapi saya anak kepada ulama, cucu kepada ulama. Saya ingin memimpin dengan ilmu, bukan hanya dengan kuasa.”

— Tun Abdullah Ahmad Badawi


Tun Abdullah membersar di Bayan Lepas, Pulau Pinang, dalam keluarga yang penuh dengan cahaya ilmu dan keberkatan agama. Ayahandanya, Datuk Ahmad Badawi, ialah seorang qadhi, imam dan pendakwah terkenal di Pulau Pinang. Tun Abdullah membesar dengan disiplin ilmu agama yang kukuh, diasuh dengan didikan Islam yang menyeluruh—akhlak, ilmu, dan amal.

Lebih istimewa, datuknya ialah Sheikh Abdullah Fahim, Mufti pertama Pulau Pinang dan tokoh falak Islam tersohor yang mengira dan mencadangkan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai hari kemerdekaan Tanah Melayu.

Warisan keilmuan ini mengalir dalam darah Tun Abdullah dan membentuk asas kepimpinan beliau berhikmah, sederhana dan penuh adab. Tun Abdullah menyambung pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Malaya. Di sanalah pemikiran beliau diasah dengan idea-idea besar tentang Islam dan tamadun.

Beliau juga banyak dipengaruhi oleh tokoh-tokoh intelektual Islam kontemporari seperti:

Prof. Dr. Muhammad Kamal Hassan (tokoh Maqasid Syariah),
Prof. Dr. Syed Naquib al-Attas (pemikir Islam moden),
serta cendekiawan Islam tempatan dan antarabangsa.

Kesemua ini membentuk pendekatan Tun Abdullah yang membawa Islam bukan sebagai simbol semata, tetapi sebagai panduan hidup dan dasar pemerintahan.

Antara warisan terbesar Tun Abdullah ialah konsep Islam Hadhari, yang diperkenalkan semasa beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 2004. Bukan mazhab baru, bukan ajaran baru, Islam Hadhari adalah pendekatan memartabatkan Islam sebagai sistem kehidupan yang progresif. Ia membawa 10 prinsip utama, antaranya: 
  • Pemerintahan yang adil, 
  • Masyarakat berilmu, 
  • Ekonomi seimbang, 
  • Kehidupan berkualiti, 
  • Kekuatan pertahanan, dan lain-lain. 
Tujuannya jelas: melahirkan umat Islam yang maju dalam dunia, dan kuat di sisi Allah.

Ramai menggambarkan Tun Abdullah sebagai seorang yang lembut, tetapi tegas. Tidak banyak berkata-kata, namun penuh isi. Dalam senyumnya, ada ketegasan. Dalam diamnya, ada kekuatan. Tetapi, keutamaan beliau sentiasa satu: membangunkan rakyat dari dalam dari hati, minda dan akhlak.

LEGASI DAN PENGHORMATAN

Almarhum Tun Abdullah dikenang sebagai “Bapa Pembangunan Modal Insan Negara” atas usaha beliau memperkasa pendidikan dan etika dalam masyarakat. Beliau juga menerima Anugerah Khas Tokoh Pembangunan Halal Negara sempena MIHAS 2024 atas sumbangannya dalam membangunkan industri halal Malaysia. 

Tun Abdullah mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Endon Mahmood pada 1965 dan dikurniakan dua cahaya mata, Datuk Kamaluddin serta Nori. Pada 20 Oktober 2005, Datin Seri Endon meninggal dunia akibat kanser payu dara. Tun Abdullah kemudian berkahwin dengan Tun Jeanne Abdullah pada 9 Jun 2007.

LEGASI HALAL TUN ABDULLAH

Tun Abdullah Ahmad Badawi memainkan peranan penting dalam pembangunan industri halal Malaysia, yang kini menjadi antara peneraju global dalam sektor ini. Di bawah kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri (2003–2009), Malaysia mula menginstitusikan halal sebagai agenda nasional, bukan sekadar isu agama, tetapi sebagai pemacu ekonomi dan imej negara Islam progresif.

Sumbangan Tun Abdullah dalam Pembangunan Industri Halal

1. Pelancaran Pelan Induk Industri Halal Nasional (HIMP)
Pada tahun 2006, kerajaan memperkenalkan Halal Industry Master Plan (HIMP) bagi membina ekosistem halal yang menyeluruh merangkumi makanan, farmaseutikal, logistik, kewangan dan pelancongan.


2. Penubuhan Halal Development Corporation (HDC)
Tun Abdullah menggerakkan penubuhan Halal Industry Development Corporation (HDC) pada tahun 2006 — satu agensi khusus di bawah MITI untuk:

  • Mengurus pembangunan industri halal, 
  • Memastikan standard halal Malaysia diterima di peringkat global, 
  • Menarik pelaburan antarabangsa dalam sektor halal. 

3. Malaysia sebagai Hab Halal Global
Dengan inisiatif beliau, Malaysia mula dikenali sebagai:

“Global Halal Hub” pusat rujukan halal dunia, 
  • Negara pertama yang mewujudkan standard halal bersepadu (MS1500) yang diiktiraf banyak negara Islam lain, 
  • Negara penganjur kepada World Halal Forum, yang pertama kali diadakan pada 2006. 

4. Pengiktirafan Logo Halal Malaysia
Di bawah pentadbiran Tun Abdullah, logo halal Malaysia dikukuhkan sebagai satu jenama diyakini bukan sahaja dalam kalangan umat Islam tempatan, tetapi pengguna antarabangsa.

Tun Abdullah melihat halal bukan sekadar pematuhan syariat, tetapi:


“Halal is not just a religious requirement, it is also about quality, cleanliness, safety and wholesomeness of a product or service.”



Hari ini, hasil asas yang dibina semasa era Tun Abdullah:
Malaysia memimpin pasaran halal global bernilai berbilion ringgit, Pelbagai agensi awam dan swasta bekerjasama dalam sektor ini, Usahawan halal tempatan mendapat sokongan dari segi pensijilan, latihan dan eksport.


INISIATIF PENDIDIKAN ISLAM J-QAF

Program j-QAF adalah antara inisiatif pendidikan Islam paling penting yang diperkenalkan semasa pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia. Ia merupakan singkatan kepada:

j – Jawi

Q – al-Quran

A – Arab

F – Fardhu Ain


Apa Itu j-QAF?

Dilancarkan secara rasmi pada tahun 2005, j-QAF diperkenalkan dalam sekolah rendah kebangsaan sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa pendidikan Islam di peringkat awal persekolahan.

Program ini bertujuan untuk memastikan murid:

Boleh membaca dan menulis tulisan jawi,
Lancar membaca al-Quran dengan betul,
Mempunyai asas yang kukuh dalam bahasa Arab,
Mengamalkan ilmu Fardhu Ain dalam kehidupan harian.

Kenapa Tun Abdullah Laksanakan j-QAF?

Tun Abdullah, yang memiliki latar belakang pendidikan agama serta warisan ulama melalui datuk dan bapanya, percaya bahawa:

“Pendidikan Islam yang kukuh sejak kecil adalah asas untuk membina peribadi Muslim yang cemerlang.” - Tun Abdullah

Matlamat beliau: 
  • Melahirkan generasi Islam celik al-Quran dan fardu ain.
  • Memperkasa nilai akhlak dan jati diri Muslim dalam kalangan pelajar.
  • Memastikan ajaran Islam tidak sekadar teori tetapi diamalkan dalam kehidupan. 
Keistimewaan Program j-QAF:
  • Ujian Tilawah al-Quran & Kelas Pemulihan: Murid yang lemah akan mengikuti kelas pemulihan al-Quran secara berperingkat. 
  • Tasmik & Murajaah: Murid dididik membaca dan mengulang hafazan ayat al-Quran secara berkala. 
  • Bahasa Arab Komunikasi: Bahasa Arab diajar sebagai bahasa komunikasi asas sejak Tahun 1. 
  • Peningkatan Kualiti Guru Agama: Program j-QAF melibatkan latihan khusus kepada guru-guru Pendidikan Islam. 
j-QAF kekal sebagai salah satu program pendidikan agama yang paling berimpak tinggi di sekolah kebangsaan hingga ke hari ini. Ia telah: 
  • Meningkatkan kemahiran membaca al-Quran dalam kalangan pelajar, 
  • Mengembalikan semula penggunaan tulisan Jawi dalam sistem pendidikan, 
  • Memupuk kefahaman Islam sebenar berasaskan wasatiyyah dan Islam Hadhari.

PAK LAH DALAM KENANGAN

Sepanjang Almarhum Tun Abdullah menggalas jawatan sebagai Perdana Menteri pada penggal 2003 - 2009, kehidupan seakan-akan sangat tenang pada ketika itu. Apa yang diusahakan oleh Almarhum Pak Lah untuk Pembangunan Modal Insan dan Islam Hadhari memberi impak kepada kami yang menduduki SPM. 

Seterusnya kami sambung belajar dan bekerja. Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi memainkan peranan penting dalam penubuhan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysian Qualifications Agency (MQA). Ini adalah antara sumbangan besar beliau dalam memperkasa kualiti pendidikan tinggi negara. 

Lembaga Akreditasi Negara (LAN) ditubuhkan pada tahun 1996 sebagai badan yang bertanggungjawab untuk mengakreditasi program pengajian tinggi di sektor swasta, demi memastikan standard dan mutu pendidikan tinggi yang setara dengan piawaian kebangsaan dan antarabangsa. Ketika itu, Tun Abdullah menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pendidikan (1995–1999).

Di bawah kepimpinan beliau, fokus kerajaan bukan hanya kepada pembangunan fizikal pendidikan, tetapi juga penstrukturan sistem penilaian dan akreditasi agar kualiti pendidikan tinggi negara dapat ditingkatkan.

Memacu Dasar Pendidikan Berkualiti Tinggi:
Beliau meletakkan asas kepada idea bahawa universiti dan kolej bukan hanya perlu wujud secara fizikal, tetapi mesti memenuhi standard akademik dan kualiti yang tinggi. 

Menubuhkan LAN sebagai Pemantau & Penjamin Kualiti:
LAN menjadi badan utama yang menyemak, menilai dan memberikan akreditasi kepada kursus di IPTS (Institusi Pengajian Tinggi Swasta). 

Menjadi Pemangkin kepada Penubuhan MQA:
Pada tahun 2007, LAN digabung dan ditingkat taraf menjadi Malaysian Qualifications Agency (MQA) di bawah Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007, kesinambungan daripada visi yang dirintis pada zaman Tun Abdullah.

Usaha ini memberi impak besar:

  • Membina kepercayaan antarabangsa terhadap ijazah dari IPT Malaysia. 
  • Memberi jaminan kepada ibu bapa dan pelajar bahawa program pengajian di IPTS adalah diiktiraf dan berkualiti.
  • Membuka jalan kepada pembangunan Rangka Kelayakan Malaysia (MQF).

Ruby masih ingat lagi pada tahun itu, peluang pekerjaan tetap dalam sektor kerajaan terbuka luas. Ini kerana universiti swasta yang Ruby dapatkan pendidikan mempunya LAN. Ruby menerima tawaran kerja di Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai Juruteknik Komputer. 

Kami di ruby.my dengan hormatnya merakamkan rasa simpati yang mendalam kepada keluarga Almarhum Tun Abdullah dan memohon agar privasi mereka dihormati semasa tempoh berkabung ini. 

TERIMA KASIH PAK LAH, PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-5 "BAPA PEMBANGUNAN MODAL INSAN NEGARA"

Terima kasih Pak Lah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para anbiya’, syuhada’ dan solihin. 

Sumber rujukan: www.ptab.jpm.gov.my


Post a Comment

PERHATIAN: Pihak RUBY.MY tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca. Sila pastikan anda fikir terlebih dahulu sebelum meninggalkan komen yang berbaur negatif. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Setiap penulisan dan komen adalah termaktub dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. Akta ini merupakan undang-undang siber yang digubal di Malaysia pada 15 Oktober 1998, dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 23 September 1998. Ia mula berkuatkuasa pada 1 April 1999.

Seseorang yang melanggar atau melakukan kesalahan akan disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Terbaru Lebih lama